SHAH ALAM: Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong mendakwa kenyataan Pas menyamakan kerajaan Pulau Pinang dengan penindasan rejim Zionis di Palestin adalah mengecewakan dan boleh mewujudkan persepsi buruk kepada masyarakat.

Beliau berkata, kenyataan tersebut bukan saja telah menghina perjuangan pembebasan Palestin malah cuba mencetus ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

"Jelas, Pas berniat jahat dalam hal ini. Penggunaan data yang meragukan untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap kerajaan Pulau Pinang sangat mengecewakan.

"Ia dilakukan ketika kerajaan Pulau Pinang terus berusaha untuk memastikan pembangunan negeri yang lebih adil agar tiada golongan yang tercicir," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, demi kepentingan politik sempit, Pas seakan-akan tidak mengendahkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah agar tidak memainkan polemik agama dan sentimen perkauman.

"Persoalannya, adakah orang Melayu, Cina, India di Malaysia bermusuhan antara satu sama lain sebagaimana permusuhan Zionis dan Palestin? Ternyata jauh sekali, tidak.

"Justeru, saya menyeru rakyat Pulau Pinang serta rakyat Malaysia pelbagai kaum yang cintakan keharmonian untuk menolak fitnah dan pemikiran ekstrim sebegini," katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Pas telah membangkitkan isu berhubung Israel menguasai tanah Palestin dari 1.5 peratus pada 1918 sehingga rakyat Palestin menjadi pelarian di negara sendiri.

Parti itu mendakwa kajian pada 2010 mendapati pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 27 peratus.

Pas turut mendakwa Pulau Pinang membuat 'rampasan bersistem' dalam mengambil alih pemilikan dan menguasai kawasan yang asalnya majoriti Melayu-Islam. - Sinar Harian