KOTA KINABALU: Keputusan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meneruskan sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengukuhkan lagi status autonomi parti itu di Sabah.

Selain itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata ia juga menunjukkan bahawa UMNO Sabah adalah parti yang mengutamakan rakyat Sabah.

"Kerajaan GRS adalah kerajaan yang dipilih melalui proses demokrasi di Sabah. Kami diberi mandat oleh rakyat.

“Pihak pembangkang telah berusaha beberapa kali mengganggu kerajaan ini tetapi gagal kerana parti-parti yang membentuk GRS terdiri daripada para pemimpin yang tahu bahawa kuasa dan mandat sebenar di tangan rakyat.

"Oleh demikian, kami akan terus bekerja keras untuk rakyat, menunaikan janji-janji kami yang dibuat semasa kempen pilihan raya dan memajukan Sabah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Jeffrey berkata sebagai sebuah parti, STAR akan terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan menggesa anggotanya untuk kekal tenang serta menjalankan tugas seperti biasa.

BACA: UMNO Sabah kekal dengan GRS, pentadbiran negeri berjalan seperti biasa - Bung Moktar

Terdahulu, Bung ketika dihubungi Astro AWANI berkata UMNO Sabah kekal dengan pendirian bersama rakan komponen dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk mempertahankan GRS.

Malah katanya Kerajaan Sabah ditadbir GRS masih berfungsi seperti biasa dan menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

BACA: UMNO tarik balik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta - Zahid Hamidi

BACA: UMNO desak Muhyiddin berundur, namun tidak sokong Anwar jadi PM baharu

Ia susulan keputusan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan serta-merta selain mendesak meletak jawatan.