KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin empat ahli Parlimen gabungan itu tidak terjejas dengan Akta Anti-Lompat Parti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, kesemua ahli Parlimen berkenaan akan memaklumkan tentang kedudukan mereka kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Jelas beliau lagi, satu kenyataan juga akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"GRS dan empat ahli Parlimen berkenaan menyedari sepenuhnya Akta Anti-Lompat Parti yang berkuatkuasa pada 5 Oktober lalu sebelum mereka bertanding sebagai calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya, hari ini.


BACA: Keluar Bersatu: Azalina tunggu laporan AG mengenai empat ahli Parlimen Sabah

Terdahulu, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpandangan empat bekas ahli Parlimen Bersatu yang bertanding atas tiket GRS pada PRU15 dan meninggalkan parti perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing sekiranya peletakan jawatan mereka diterima.

BACA: ADUN Bersatu Sabah keluar parti: Apa yang kita tahu setakat ini


Beliau yang merupakan menteri yang bertanggungjawab menggubal Akta Anti-Lompat Parti yang dilulus di Dewan Rakyat berkata, sehubungan itu Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan susulan pengosongan kerusi tersebut.

Empat ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Pada Sabtu, kepimpinan Bersatu Sabah yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan meninggalkan Bersatu dan secara kolektif menjadi ahli GRS.