Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa Aman menyeru rakyat di negeri ini agar keluar menunaikan tanggungjawab sempena hari pengundian esok.

Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia, mereka mempunyai hak untuk memilih pemimpin yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Saya yakin rakyat Sabah akan membuat pilihan yang tepat dan memberi mandat kepada pihak yang mampu menerajui kepimpinan negara berdasarkan rekod pencapaian cemerlang dalam berbakti kepada mereka dan bukannya memilih berdasarkan sentimen atau dipengaruhi emosi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media,di sini, pada Selasa.

Bagi pihak BN, Musa menyatakan, BN dibarisi oleh pemimpin yang sentiasa komited dalam berbakti kepada rakyat dan bukannya pemimpin bermusim yang hanya muncul setiap kali pilihan raya diadakan.

Beliau juga yakin, BN akan mencapai kemenangan dalam pilihan raya kali ini walaupun dicabar sengit oleh pihak lawan.

Dalam pada itu, Musa turut menyeru agar rakyat sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sepanjang menunaikan tanggungjawab mereka esok selain tidak membuat provokasi antara penyokong parti lawan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau percaya, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah membuat persiapan rapi bagi memastikan hari pengundian berjalan lancar dan sudah tentunya aspek keselamatan menjadi keutamaan.