Skip to main content

Politik

Kemelut DUN Negeri Sembilan: 'Saya terkejut tindakan UMNO'- Aminuddin

SEREMBAN, 27 April -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bersama Pengerusi DAP negeri merangkap Menteri Pengangkutan Anthony Loke, ketika sidang media di di kediaman rasmi Menteri Besar hari ini._BERNAMA
Aminuddin berkata, UMNO tidak menolak keadaan yang berlaku sekarang akan lebih mengeruhkan hubungan dengan UMNO. - Gambar/ Bernama

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meluahkan rasa terkejut terhadap tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO negeri itu yang sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau.

Malah, beliau turut mendakwa UMNO sendiri yang membuat permintaan supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya bermula pada Isnin ditangguhkan.

Advertisement

"Saya baca surat itu yang dihantar kepada Pejabat Setiausaha DUN dan saya terperanjat kerana sebelum ini kita telah berbincang mengenai persidangan DUN itu.

"Empat Exco UMNO berjumpa dengan saya meminta supaya sidang DUN ditangguhkan dan kita bersetuju supaya perasmian berjalan dan mesyuarat ditangguhkan, yang mana itu permintaan BN sendiri," katanya dalam sidang akhbar Pakatan Harapan (PH) di kediaman rasminya pada Isnin.

Tambahnya, sekiranya UMNO mahu menyatakan sudah hilang kepercayaan terhadap beliau selaku Menteri Besar, sepatutnya usul itu dibentangkan dalam persidangan DUN.

Selain itu, beliau turut memaklumkan kedudukan empat Exco UMNO secara automatik dikosongkan, namun pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Namun, Aminuddin berkata, pentadbiran negeri akan berjalan seperti biasa sehingga ada keputusan jelas mengenai situasi semasa atau kemungkinan usul undi tidak percaya dibentangkan terhadap beliau dalam persidangan DUN Negeri Sembilan akan datang.

"Kita pun telah rujuk kepada kepimpinan pusat seawal pagi tadi (situasi berlaku) dan perbincangan telah diadakan, mereka (UMNO) juga mungkin telah merujuk kepada kepimpinan pusat.

Beliau juga tidak menolak keadaan yang berlaku sekarang akan lebih mengeruhkan hubungan dengan UMNO.

"Sepatutnya itu difikirkan dan diambil tindakan bersama sebagai sebuah kerajaan gabungan," katanya.

Ditanya sama ada pertemuan dengan UMNO, beliau memberitahu buat masa ini tiada perancangan ke arah itu. - Sinar Harian

Must Watch Video