KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada cadangan untuk menukar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun susulan kemelut politik di negeri itu.
Pendirian tersebut dinyatakan Presiden UMNO itu, meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan kekal menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin.
“(Berdasarkan pendirian UMNO Negeri Sembilan, adakah Menteri Besar Negeri Sembilan perlu ditukar juga?) Tidak, tidak ada cadangan,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (PTDSN) 2026–2030 di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pada Khamis.
Semalam, UMNO Negeri Sembilan menegaskan akan terus menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan, namun mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap menteri besarnya.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Mustapha Nagoor berkata, ketetapan untuk mengekalkan kerjasama itu dibuat demi menjamin kesejahteraan dan keutamaan kepada rakyat di negeri berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pendirian parti Melayu itu berhubung isu berkenaan bukan hanya melibatkan UMNO Negeri Sembilan, sebaliknya turut dipersetujui kepimpinan pusat parti.
Katanya, UMNO bukan menolak kepimpinan negeri, namun tidak akan menyokong sebarang campur tangan dalam urusan melibatkan undang-undang adat di Negeri Sembilan.
“Kita bukan menolak tetapi kita tidak mendukung selagi beliau (Aminuddin) campur tangan dalam undang-undang adat di Negeri Sembilan.
“Kita mahu supaya soal kedaulatan Negeri Sembilan antara Yang Dipertuan Besar dan Undang Yang Empat harus dihormati dan biarlah mereka menyelesaikan masalah itu,” tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.
Sementara itu ditanya mengenai Program Ceramah Perdana Pimpinan Utama PH Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata, tidak timbul isu tidak dijemput kerana pihak penganjur telah memaklumkan kepada beliau lebih awal.
Beliau berkata, program itu juga jelas menyasarkan pimpinan serta ahli parti-parti komponen dalam PH.
“Majlis itu adalah anjuran PH dan mereka telah memaklumkan kepada saya.
“Kumpulan sasarannya adalah parti-parti dan ahli-ahli komponen dalam PH.
“Jadi bukan soal jemput atau tidak dijemput, tetapi kumpulan itu adalah kumpulan mereka,” katanya.