KUALA LUMPUR: Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini menerima petisyen difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid, di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

Peguam Yusfarizal Yussof mengesahkan bahawa mahkamah pilihan raya membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil. 

Pada 12 Feb lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen itu apabila membenarkan bantahan awal Che Alias berhubung petisyen yang dikatakan mengandungi fakta cacat dan tidak sah bagi menyokong dakwaan rasuah semasa PRU15.

Bagaimanapun pada 2 Mei, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Wan Mohamad Hisham, yang juga seorang peguam, untuk mengembalikan semula petisyen berkenaan bagi menjalani perbicaraan penuh.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut memerintahkan responden membayar kos sebanyak RM30,000 kepada pempestiyen.

"Saya mendapati rasuah dilakukan atas pengetahuan responden. Saya mengisytiharkan keputusan pilihan raya umum Kemaman yang diadakan pada 19 Nov (2022) adalah terbatal. Wang yang diberi adalah untuk mendorong undi.

"(Jika ini inisiatif kerajaan negeri) Saya menganggap selepas pilihan raya ia masih boleh berlaku, tetapi ia dibuat beberapa hari sebelum PRU. Semua ahli politik harus tahu kesannya.

"Tidak dinafikan kerajaan negeri masih wujud pada masa itu (kerana PRU dan Pilihan Raya Negeri diadakan secara berasingan) tetapi itu tidak bermakna program seperti itu (agihan dana) perlu diadakan begitu hampir dengan tarikh PRU," kata Fernandis menurut laporan Bernama

Hakim itu berkata, program tersebut perlu diadakan selepas atau sebelum tempoh kempen bagi mengelakkan unsur dorongan.

Program rasmi yang dikatakan dianjurkan kerajaan negeri Terengganu itu termasuk Bantuan i-Belia, i-Siswa dan sumbangan kepada orang kurang upaya serta asnaf.

Wan Mohamad Hisham diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun, Amin Othman dan Norhazira Abu Haiyan, manakala Che Alias diwakili Saifuddin Othman dan Wan Rohimi Wan Daud. 

Bagaimanapun, mahkamah bersetuju menangguhkan pemakluman mengenai keputusan tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 3 Okt sementara menunggu tindakan atau rayuan dari pihak responden.

Mohd Hafarizam ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, hakim telah memanggil peguam utama kedua-dua belah pihak ke dalam kamar dan memaklumkan perkara itu.

"Hakim akan melewatkan pemakluman kepada SPR selewat-lewatnya 3 Okt ini tentang keputusan beliau pada hari ini.

"Jika sehingga 3 Okt tiada permohonan untuk tangguh keputusan atau tiada rayuan (terhadap keputusan mahkamah hari ini), hakim akan maklum keputusan hari ini kepada SPR pada 3 Okt ini," katanya.

Sementara itu, Wan Rohimi berkata pihaknya akan berbincang dengan pengurusan parti berhubung tindakan yang akan diambil, sama ada akan mengemukakan rayuan atau sebaliknya. 

Pada PRU15 lalu, Che Alias berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang disandangnya apabila menewaskan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ahmad berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov 2022, beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.