KUDAT: Memastikan kemiskinan tidak menentukan nasib anak Sabah atau menjadi penghalang generasi muda mengecap kemajuan menjadi tekad dan perjuangan peribadi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Tekad itu lahir daripada pengalaman sendiri yang dibesarkan dalam serba kekurangan selepas kehilangan bapa sejak kecil, selain pernah menjadi nelayan dan petani, manakala ibu bertungkus-lumus membesarkan beliau.
Malah, dengan nada sebak, Hajiji mengenang pengorbanan ibunya yang terpaksa meminjam RM15 daripada saudara-mara untuk membayar yuran peperiksaan Tingkatan Tiga (LCE) pada 1971 demi memastikan beliau mendapat pendidikan dan berpeluang keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Ibu bapa masa sekarang ini pun berdepan perkara sama dalam membesarkan dan memberikan pendidikan kepada anak mereka. Sebab itulah saya tanam tekad dalam-dalam, betul-betul mahu pastikan kemiskinan tidak tentukan nasib anak-anak kita. Pendidikanlah yang mampu bawa anak-anak kita keluar dari kemiskinan.
"Sekiranya kerajaan berkemampuan untuk menghilangkan satu halangan daripada perjalanan hidup seorang anak Sabah untuk maju dan berjaya, sekurang-kurangnya jangan kita biarkan kemiskinan menentukan nasib mereka sebelum mereka sempat mencuba," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 di Dewan Tun Mustapha di sini hari ini.
Atas tekad itu juga, Hajiji berkata beliau memastikan Kerajaan Negeri Sabah melipatgandakan peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada RM155 juta pada 2026 berbanding RM55 juta pada 2021 bagi membiayai pengajian golongan kurang berkemampuan.
Katanya, sebanyak 480,000 pelajar setakat ini menerima manfaat menerusi 14 inisiatif bantuan pendidikan di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk bantuan tunai BUDI, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan subsidi tiket penerbangan mahasiswa (SUBFLY).
Sementara itu mengenai landskap ekonomi, Hajiji berkata Kerajaan Negeri Sabah kini bersedia melangkah ke fasa pengupayaan pembangunan sebenar untuk menyelesaikan isu legasi rakyat berpandukan hasil negeri yang berjaya ditingkatkan hingga mencecah RM7 bilion setahun.
“Usaha penyelesaian prasarana berskala besar sedang digerakkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang merangkumi 173 projek pembangunan rangkaian jalan raya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan 77 projek berkaitan loji serta sistem bekalan air di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama PETRONAS pada 2021 turut menjadi titik tolak penting yang melonjakkan penglibatan vendor tempatan dalam sektor minyak dan gas kepada 499 kontrak pada 2025 berbanding hanya 133 kontrak sebelum ini.
“Kerajaan negeri juga komited meneruskan tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di meja rundingan bersama Kerajaan Persekutuan berteraskan fakta, data kewangan dan asas perundangan yang kukuh,” katanya.
Menurut Hajiji kelangsungan pembangunan prasarana dan ekonomi negeri turut diimbangi dengan inisiatif kebajikan bersasar menerusi pembinaan 11,000 unit Rumah Mesra SMJ bagi membantu golongan rentan serta pasangan muda.
Katanya, Pembinaan diteruskan dengan sasaran 50 buah Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini bagi memastikan kemajuan Sabah dinikmati secara menyeluruh termasuk oleh penduduk di desa dan pedalaman.
-- BERNAMA