KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah mempersoal sikap Pas yang dilihat takut untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Shamsul menegaskan sekiranya Pas tidak mahu PRU15 diadakan dengan segera ia perlu memberi alasan yang menampakkan kematangan parti itu.

"Kalaupun tidak mahu lagi PRU15, berilah alasan yang menampakkan kematangan sebagai parti yang kononnya membawa imej Islam.

"Lupakah kita, Islam mengajar kita mendoakan kebaikan kepada semua?" katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

BACA: Pas gesa Ahmad Zahid henti berpolitik, sebaliknya bantu PM selesaikan masalah rakyat

BACA:  Pas khuatir kehilangan kerusi sedia ada jika PRU15 diadakan segera - Ahmad Zahid

Ahli Parlimen Lenggong itu menjelaskan, gesaan supaya PRU15 disegerakan dibuat kerana ia merupakan pendirian UMNO ketika Perhimpunan Agung parti itu dan Perhimpunan Agung Khas baru-baru ini.

Jelas beliau, gesaan mengadakan PRU15 bukan kehendak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti yang didakwa pemimpin Pas.

"Keputusan ini dibuat oleh parti... oleh UMNO.

"Kita mahu kuasa diberikan segera kepada rakyat. Biarlah rakyat pilih parti mana yang akan diberikan mandat melalui proses pilihan raya.

"Kita mesti bentuk kerajaan pilihan rakyat. Supaya kerajaan itu nanti menjadi kerajaan yang stabil dan kerajaan diyakini pelbagai pihak," katanya lagi.

Shamsul Anuar juga menjelaskan, kerajaan yang dibentuk itu perlu dianggotai parti yang sehaluan agar segala dasar, polisi dan agenda negara dapat berfungsi dengan sempurna untuk rakyat dan negara.

Sebelum ini,Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kononnya desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU15 awal kerana takut dipenjara.