Mana-mana pemimpin pembangkang diminta tidak mempertikaikan tindakan Kerajaan Sarawak yang menyekat kemasukan beberapa wakil mereka yang mempunyai pengaruh negatif ke negeri itu.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Sarawak sendiri untuk memastikan anasir tidak baik sampai ke sana.

"Itu hak Sarawak. Menyekat individu yang membawa pengaruh negatif menjadi tanggungjawab kerajaan negeri. Mereka dipilih oleh rakyat dan mereka menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.

"Mana-mana individu yang mereka dapati membawa pengaruh negatif, tidak kira siapa dan afiliasi politik, mereka tentunya boleh disekat. Kenapa mahu pertikai halangan masuk Sarawak?

"Tidak adil jika pembangkang menyatakan bahawa alasan afiliasi politik yang datang dari parti pembangkang sahaja disekat.

"Sedangkan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor iaitu seorang aktivis 'Baju Merah' dan pendakwah dan kolumnis akhbar Profesor Ridhuan Tee Abdullah juga disekat sama," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Kecenderungan politik

Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata pihaknya tidak menyebelahi mana-mana kelompok atau kecenderungan politik dalam melaksanakan larangan memasuki negeri itu.

Pada Jumaat, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan merayu kemasukannya ke Sarawak tidak disekat dan menyifatkan sekatan kepada beberapa pemimpin pembangkang ke negeri itu sebagai melanggar prinsip demokrasi.

Dalam pada itu Bastien turut percaya, tindakan Kerajaan Sarawak itu adalah kerana mahu memelihara adat budaya resam dan kesusilaan rakyat mereka yang unik, pelbagai kaum dan istimewa.

"Menyekat anasir luar seperti fitnah dan menghasut merupakan amalan banyak tempat-tempat lain di dunia dan mengapa Sarawak boleh terkecuali?

"Jadi Guan Eng tidak perlu bimbang terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak kerana mereka melaksanakan undang-undang dan peraturan yang sah. Itu negeri mereka dan hak mereka," tegasnya.

Sebelum ini, Adenan turut dilaporkan berkata halangan imigresen ke atas beberapa pemimpin parti pembangkang ke Sarawak tidak akan ditarik semula buat masa ini.

Namun jelasnya, mereka boleh melawat negeri tersebut selepas pilihanraya negeri.