SHAH ALAM: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan kenyataan pemimpin pembangkang yang berterusan didakwa mahu mengambil alih Kerajaan Perpaduan di luar pilihan raya sebagai 'angkuh'.

Tanpa menyebut nama, Saifuddin Nasution berkata pemimpin itu didakwa sanggup melanggar titah Seri Paduka Baginda, yang berharap agar Kerajaan Perpaduan dapat mentadbir sehingga penghujung penggal.

"Ketika ditanya, anda terus-terusan menyebut mahu mengambil alih kerajaan. Bukankah titah Tuanku semasa perasmian Parlimen menyatakan harapan bahawa baginda berharap penggal kerajaan ini sempurna, cukup lima tahun?

"Dengan kenyataan kamu, akan terus berusaha mengambil alih (Kerajaan Persekutuan) di luar daripada musim pilihan raya, apakah ini seolah-olah tidak (mendengar) nasihat Tuanku? Maka disanggahnya, pandangan Tuanku bukan penamat... bukan kata putus.

"Ini nada angkuh. Maknanya pandangan Tuanku bukan kata putus, maka pandangan Tuanku boleh disanggah? Ini kerana terlalu angkuh sampai tak ada sesiapa boleh menegur lagi," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional Khas 2023, di sini pada Sabtu.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyeru ahli PKR, agar bersedia dengan 'mood menyerang' bagi mendepani pilihan raya akan datang.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata tiada siapa boleh menghalang Perikatan Nasional (PN) daripada 'menjatuhkan' Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, mengikut sistem demokrasi negara, perkara itu boleh dilakukan dan ia keadaan itu biasa berlaku dalam politik termasuk melalui undi tidak percaya atau mendapatkan Surat Akuan Berkanun (SD).

Ditanya jika cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan melangkaui titah Yang Dipertuan Agong yang mahukan kestabilan, Timbalan Pengerusi PN itu berkata ia 'tidak boleh dijadikan sebagai kata putus'.