KEPALA BATAS: Tidak wajar veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa pemimpin UMNO yang berada dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini sebagai 'kurang prinsip dan tiada hala tuju.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata rata-rata pemimpin UMNO masih berada di dalam Kabinet kerana terikat dengan usul yang diputuskan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Justeru, beliau mempersoalkan maksud 'prinsip' yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu sedangkan apa yang telah diputuskan oleh Presiden UMNO sebelum ini iaitu tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi kekal dalam kerajaan hingga pembubaran Parlimen adalah jelas sama sekali.

Reezal Merican yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sebagai menteri, mereka mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap rakyat.

"Prinsip macam mana lagi yang mereka mahu kami buat? Kami nak dengar cakap siapa, nak dengar cakap parti, semua menteri adalah ahli parti.

"Parti telah putuskan dalam perhimpunan apa yang termaktub dalam usul. Usul kata tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 tapi kekal dalam kerajaan sehingga pembubaran, itu yang disebut.

"Kedua, semua menteri kini ada tanggungjawab, Khairy Jamaluddin dengan program imunisasi, (Datuk Ser) Dr Adham Baba dengan COVID-19, (Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) dengan dasar luar, (Datuk Seri) Ismail Sabri hari-hari dengan hal rakyat. Itulah fokus kami, iaitu rakyat," katanya.


Reezal Merican berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tengku Razaleigh atau Ku Li seperti yang dilaporkan dalam portal berita The Malaysian Insight, di mana beliau menyifatkan pemimpin-pemimpin UMNO yang berada dalam kabinet kerajaan PN sebagai 'kurang prinsip dan tiada hala tuju'.

Menurut veteran UMNO itu, hal tersebut dapat dilihat apabila mereka enggan melepaskan jawatan mereka sebagai menteri apabila parti mendesak mereka untuk berbuat demikian.

Selain menyifatkan pemimpin UMNO dalam kabinet PN sebagai tidak berprinsip, Ku Li juga dikatakan mendakwa menteri-menteri tersebut sebagai tidak berdisiplin dan tidak menunjukkan kesetiaan yang sempurna terhadap parti.