Kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan yang mempersoalkan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim sesuai menjadi perdana menteri kerana berstatus banduan, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kenyataan itu juga adalah tidak adil kerana presiden PKR itu telah menerima pengampunan diraja.

"Umum sedia maklum bahawa pertuduhan terhadap Datuk Seri Anwar sejak 1998 itu merupakan pertuduhan politik yang akhirnya membawa kepada pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Kita mungkin mempunyai pandangan politik berbeza tetapi kita harus berpegang kepada fakta dan kenyataan bahawa kemelut ini telah diselesaikan dengan baik demi kepentingan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini hari ini.

Ketika berucap pada kempen PRK Sandakan Rabu lalu, Takiyuddin mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai perdana menteri.

BACA: Menantu Hadi nafi MB Terengganu dan Khalil terlibat 'kartel dedak'

Dalam pada itu, Mohamed Azmin mengingatkan Pas untuk menyelesaikan masalah dalaman parti itu tanpa mengaitkannya dengan pihak lain, termasuk isu kartel dedak yang didedahkan baru-baru ini.

"Saya bukan ahli Pas. Saya tidak terlibat dengan apa yang berlaku dalam Pas. Saya kira itu masalah dalaman mereka dan mereka perlu selesaikan.

"Saya lihat kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) menyatakan beliau tidak memberi restu, jadi kalau ayah tak memberi restu kepada anak, saya tak fahamlah. Kena selesaikan cara mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Zaharudin Muhammad, yang juga bekas anggota Majlis Syura Ulama Pas mendedahkan wujudnya 'kartel dedak' dipercayai merujuk kepada kumpulan dalam parti itu yang didakwa menerima dana daripada UMNO.

-- BERNAMA