KUALA LUMPUR:Keperluan untuk mengadakan rombakan Kabinet atau sebaliknya adalah kuasa autonomi penuh dan kebijaksanaan Perdana Menteri, kata Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Jelasnya, ia terserah sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan adakah perlu rombakan atau wajar untuk beliau terus bersama anggota Kabinet sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

"Ini semua adalah seni dalam politik, political wisdom setiap pemimpin adalah kelebihan buat mereka dalam mengurus tadbir dan mengawal parti-parti dalam menentukan hala tuju negara, keutamaan terhadap rakyat adalah perkara yang wajib didahulukan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

BACA: Mesyuarat Khas Kabinet tidak bincang isu bubar Parlimen - Sumber

BACA: Mesyuarat Khas Kabinet bincang Belanjawan 2021, COVID-19

Terdahulu, sumber memberitahu, mesyuarat Khas Kabinet yang berlangsung pada pagi Jumaat tidak membincangkan mengenai isu pembubaran Parlimen, PRU atau rombakan menteri sedia ada.

Jelasnya, ia hanya berkisar tentang perbincangan isu Belanjawan 2021 yang dijadual pada 4 petang, 6 November nanti.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan turut menafikan senarai barisan Kabinet baharu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Jazlan, senarai yang membariskan nama-nama menteri baharu itu adalah tidak benar dan hanyalah mainan politik pihak tertentu.

"Dengan keadaan negara berdepan penularan pandemik COVID-19 makin meningkat ketika ini, rombakan Kabinet adalah tidak bersesuaian untuk dilaksanakan.

"Rakyat sedang bergelut dengan kelangsungan hidup, mencari jalan untuk sumber pendapatan, sewajarnya kerajaan memberi tumpuan terhadap rakyat terlebih dahulu.

"Tambahan pula, menteri-menteri yang bertugas sekarang pun baru beberapa bulan berkhidmat dan lebih baik kita utamakan tangani COVID-19 dulu dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baharu sahaja mengumumkan gencatan politik demi memberi tumpuan kepada keluh kesah rakyat, kebimbangan rakyat serta kegusaran rakyat berhubung wabak ini, ekonomi negara dan kelangsungan hidup mereka," ujarnya.

Di dalam senarai barisan Kabinet yang tular baru-baru ini, Ahmad Jazlan dinamakan sebagai Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam senarai pertama dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan dalam senarai kedua yang tular.