POLITIK
Keputusan Tengku Zafrul bukan luar biasa atau mengejutkan - Tok Mat

Mohamad menghormati keputusan Tengku Zafrul untuk berundur daripada UMNO dan memilih arah politik yang lebih dekat dengan pandangan peribadinya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keputusan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar UMNO bukanlah sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ringkasan AI
- Tengku Zafrul telah meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR selepas mendapatkan pandangan beberapa pihak termasuk Presiden UMNO.
- Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan keputusan itu tidak mengejutkan dan menegaskan UMNO tidak bergantung kepada individu, tetapi kepada kekuatan akar umbi dan perjuangan parti.
- UMNO akan terus fokus membina semula kekuatan parti dan memperjuangkan nasib rakyat, serta menyeru ahli dan penyokong agar tidak terpengaruh dengan tindakan individu.
Mohamad berkata, UMNO bukan bersandarkan kepada mana-mana individu semata-mata, tetapi parti yang dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan dan keyakinan rakyat.
“Kita adalah sebuah parti yang dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan, dan keyakinan rakyat – bukan pada nama atau kedudukan. Orang datang dan pergi, itu lumrah dalam politik. Yang penting, perjuangan ini mesti diteruskan.
“Saya tidak anggap ini sebagai sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan. Ini adalah sebahagian daripada dinamik politik yang makin terbuka dan pelbagai. Semua orang berhak memilih jalan mereka – dan kami pilih untuk terus bergerak ke hadapan, fokus membina semula kekuatan parti, dan memperjuangkan nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul yang pernah memegang portfolio Kewangan dan MITI sewaktu era Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar kepada pucuk pimpinan UMNO dan telah meminta nasihat daripada pelbagai pihak termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Selain itu beliau turut menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, dan akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli parti.
Dalam pada itu Mohamad berkata, ahli dan penyokong UMNO tidak perlu rasa goyah, dan tidak membiarkan tindakan satu dua individu mengganggu hala tuju parti.
“Parti ini bukan dibina sehari dua, dan bukan diangkat hanya kerana seorang tokoh. UMNO adalah amanah yang lebih besar daripada itu. Kita ada kerja yang jauh lebih penting iaitu menyatukan, memperbaiki, dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada kita.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami