SHAH ALAM: Keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin masih belum muktamad.

Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana bekas Naib Presiden PKR itu mempunyai hak di dalam Perlembagaan untuk membuat rayuan di mahkamah.

"Jadi kita jangan gelojoh untuk mendahului keputusan mahkamah, ada lagi dua peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Saya kira proses itu harus dihormati semua pihak," katanya ketika ditemui pada Konvensyen Pilihanraya Perikatan Nasional Selangor 2023 di Ideal Convention Centre di Seksyen 15 di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada Jumaat membenarkan PKR menuntut RM10 juta daripada Zuraida yang keluar parti itu tiga tahun lalu.

PKR sebelum ini membuat tuntutan terhadap 19 ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak melanggar syarat bon yang mengikat mereka dengan parti tersebut.

Selain Zuraida, mereka termasuklah Mohamed Azmin (Gombak) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Jonathan Yasin (Ranau) dan Baru Bian (Selangau) serta Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo).

Sementara ADUN pula melibatkan Dr Chong Fat Full (Pemanis), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Azman Nasrudin (Lunas), Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh)

Pada 23 Jun lalu, media melaporkan PKR akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap 10 bekas ahli Parlimen yang melanggar syarat bon mengikat kepada parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, fakta kes tersebut sama seperti saman yang dikemukakan PKR terhadap Zuraida.

Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR kerana berpaling tadah daripada parti itu selepas menang kerusi Parlimen Ampang buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan bon RM10 juta daripada PKR terhadap bekas menteri itu, yang kehilangan kerusi Ampang kepada wakil PKR, Rodziah Ismail pada PRU15 tahun lepas.

Peguam parti tersebut, Navpreet Singh seperti dilaporkan media mengesahkan keputusan yang disampaikan oleh Hakim, Datuk Akhtar Tahir semasa prosiding dalam talian.

Navpreet berkata, mahkamah mendapati bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat bekas ahli Parlimen Ampang berkenaan.

Mohamed Azmin menambah, sebagai rakyat Malaysia beliau juga mempunyai hak untuk mempertahankan keputusannya keluar parti dan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen pada 2020.

"Saya tidak tahu apa perancangan jahat pihak musuh dan sebagai rakyat Malaysia saya ada hak untuk mempertahankan hak saya," katanya. -Sinar Harian