KUALA SELANGOR: Kerajaan akan menggunakan 'delay tactic' untuk memastikan enam Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri tidak dilucutkan jawatan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan sedaya upaya melambat-lambatkan proses PRK sehingga mencapai mandat selama tiga tahun.

"Di pihak kerajaan saya nampak akan berlaku 'delay tactic' sehingga tempoh tiga tahun dan kalau diisytiharkan (kerusi) kosong sekali pun, maka sudah tiada lagi PRK," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Salam Relief di Madrasah Tahfiz Haji Omar di Kampung Pinang Sungai Burung di sini pada Sabtu.



Noh (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Salam Relief di Madrasah Tahfiz Haji Omar di Kampung Pinang Sungai Burung di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian

Seramai 80 golongan asnaf dan pelajar tahfiz di kariah Masjid Batu 12 Kampung Sungai Burong menerima sumbangan Ramadan pada majlis itu.

Noh yang juga pengamal undang-undang memberitahu, buat masa ini, beliau mengandaikan mustahil sekiranya PRK dapat diadakan.

"Pengumuman kekosongan kerusi ini melibatkan dua pihak iaitu Speaker Dewan Rakyat dan mahkamah.

"Speaker akan memberi notis kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), tetapi dalam perkara ini saya tidak fikir speaker akan mengumumkan kekosongan kerusi tersebut," jelas beliau.



Noh (tengah) menziarahi bekas ketua kampung, Hashim Zakaria, 64, yang terlantar di rumahnya di Kampung Pinang di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian


Beliau memberitahu, satu lagi proses menerusi perundangan, namun ia dijangka memakan tempoh masa lama.

"Kalau pergi (kes ini dibawa) mahkamah pun saya nampak ia perlu diselesaikan sebelum tiga tahun dan jika selepas tempoh ini, memang tak perlu diadakan PRK," ujarnya.

Bagaimanapun, Noh memberitahu, sekiranya berlaku PRK di keenam-enam kawasan termasuk di Parlimen Tanjong Karang sudah tentu beliau ingin memastikan kemenangan calon daripada Perikatan Nasional (PN).

"Siapa sahaja jadi calon jika diadakan PRK kita akan sokong dan sudah tentu kita akan pastikan bahawa Parlimen Tanjong Karang ini dimenangi PN," tambah beliau.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian