Sebuah kerajaan dengan jumlah exconya yang minimum dan menteri besarnya merupakan Adun Bebas tidak boleh bertahan lama, kata penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yussof.

Dr Mohamad Agus berkata bagi memperlihatkan kepada rakyat jiwa besar pemimpin politik, dua langkah iaitu membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) atau laksana undi tidak percaya perlu dilakukan.

Katanya, rakyat khususnya di Selangor, kini sudah bosan dengan kemelut politik berpanjangan di negeri itu, namun masih mahu melihat langkah seterusnya bagi mengakhiri situasi buntu di negeri itu.

"Ya rakyat melihat pada satu tahap, jika begini jadinya, mereka akan bosan. Pilihanraya negeri kalau diadakan pada saya itu terbaik, tapi memakan kos yang tinggi, kata SPR, dan kalau boleh dielakkan sebab rakyat bosan.

"Namun prinsip demokrasinya, kalau kerajaan sudah ada krisis politik sebegini, akan berlaku dua keadaan yang boleh dibuat.

"Pertama undi tidak percaya di dewan (Sidang DUN). Kedua Tan Sri Khalid semasa menjadi Menteri Besar menasihati Sultan untuk membubarkan dewan (DUN). Jadi dua alternatif yang masih tertinggal," katanya pada sidang media selepas menjadi panel Wacana Minda "Ke Mana Arah Tuju Anak Kelantan" di sini, malam tadi.

Ketika ditanya ramalan mengenai keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 ogos ini, beliau menjelaskan perkara tersebut tidak boleh diramal, namun berpandangan agak sukar bagi PAS membuat keputusan bergabung dengan UMNO dengan keluar dari Pakatan Rakyat untuk membentuk satu kerajaan yang kukuh di Selangor.

Dr Mohamad Agus berkata, sekiranya PAS mengambil tindakan tersebut, parti itu akan rugi dalam permainan ini kerana PAS akan berpecah dengan pihak yang menyokong dan menentang.

Beliau juga membayangkan akan ada lebih banyak dinamik politik yang bakal berlaku di Selangor selepas ini, sama ada Khalid akan kekal sebagai menteri besar, atau akan berlaku undi tidak percaya di dewan.