Pemuda Gerakan Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri dan syarikat pengendali Taman Tema Wet World Wide (WWW) di Batu Ferringhi di sini, memberi maklumat tepat dalam isu penutupan taman tema itu awal bulan ini.

Pengerusinya, H'ng Chee Wey berkata pihaknya meragui fakta dan angka dikeluarkan kerajaan negeri dan syarikat pengendali berhubung isu berkenaan,termasuk kos membuka taman tema itu.

"Pemuda Gerakan Pulau Pinang ingin tahu kos membuka WWW sebanyak RM3 juta seperti didakwa Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam ucapannya.

"Setelah kami mendapatkan maklumat daripada Wibit Sports, pembekal peralatan taman tema itu dari Jerman, kos set peralatan yang digunakan di WWW hanya Euro 65,195 atau kira-kira RM280,000.

"Kami nak tahu RM3 juta itu dibelanjakan untuk apa, mana lagi baki RM2.7 juta. Takkan satu ombak besar dapat menghapuskan segalanya. Tambahan pula ombak yang melanda kawasan itu pada Ogos dan bukannya Oktober," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

H'ng berkata sebagai kerajaan negeri yang mengamalkan prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT), mereka sepatutnya menjelaskan perkara itu kerana rakyat perlu mengetahui fakta sebenar.

Taman tema air berkonsep terapung itu dibuka pada Disember lepas, namun dilaporkan ditutup awal bulan ini selepas ombak kuat merosakkan peralatan di taman tema berkenaan.