KUALA LUMPUR: Alangkah baiknya jika kerajaan dan pembangkang tidak lagi seperti magnet sama kutub yang terus menerus menolak antara satu sama lain, dan itulah yang diharapkan rakyat sejak sekian lama lebih-lebih lagi pada waktu genting sebegini.

Maka inilah waktu yang terbaik untuk para politikus memperbetulkan kesilapan turun temurun ini, dan bersama bekerja untuk Malaysia dengan menolak tepi dogma politik mahupun warna kulit atau agama masing-masing.

Kata Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sepatutnya ahli politik yang mempunyai kuasa harus berkongsi idea dalam mencari solusi untuk menyelesaikan kemelut yang melanda negara hari ini.

“Janganlah menolak idea-idea baharu. Kalau ada cadangan atau pendekatan baharu yang boleh membantu kita keluar daripada pandemik ini selaras dengan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri melalui Pelan Pemulihan Negera, terimalah.

“Sebab itu perlu ada gabungan, dan perkongsian ini memberi satu cerminan kepada rakyat Malaysia untuk kita bergerak ke hadapan dengan lebih matang dan lebih terbuka,” katanya.

Sinergi antara kerajaan dan pembangkang itu amat diperlukan bukan sahaja untuk merangka dasar baharu, tetapi juga melancarkan pelaksanaan dasar sedia ada dengan mencari titik buta yang perlu diberi perhatian dan penambah baikan.

Terutamanya isu birokrasi, yang sekian lama menjadi masalah yang memisahkan rakyat dengan pemerintah dan merumitkan segala urusan, perlu dipermudahkan agar rakyat yang sedia terdesak tidak terus ditekan dengan hal-hal sebegitu.

Mas Ermieyati mengakui hal itu berlaku di dalam kerajaan, dan itu perlu diperbetulkan.

“Sebab itu kita harus kemas kini dan memperbaiki proses untuk dipermudahkan, jangan rumitkan dan itulah yang selalu saya tekankan kepada warga kerja saya di MEDAC dan juga di pusat khidmat parlimen saya.

“Kerana itu juga menjadi hasrat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan inisiatif contoh daripada Tekun. Kalau dahulu sampai lebih daripada 10 dokumen diperlukan untuk permohonan, hari ini empat dokumen, tujuh hari, selesai. Tak ada SSM tak apa, kita bagi,” katanya yang juga merangkap Timbalan Menteri MEDAC itu.

Maka usaha dan saranan Mas Ermieyati dan kementeriannya itu perlu dilantunkan kepada setiap anggota kerajaan dan segala organisasi penggerak masyarakat hari ini dalam segala urusan harian.



Dialog Tiga Penjuru: Jaga Rakyat | 'Semua sepakat, jangan pening lalat'