KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Negara, Datuk Husain Awang memohon kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya meneruskan hubungan dan kerjasama baik dengan kerajaan Terengganu atas tujuan pembangunan ekonomi di negeri ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu menjelaskan mengikut konteks konsep federalisme, Kerajaan Persekutuan boleh dianggap ‘bapa’ yang masih perlu memberi bantuan dan perhatian dari masa ke semasa kepada negeri-negeri dalam Persekutuan yang dianggap sebagai ‘anak-anak’.

Husain berpandangan keputusan pilihan raya negeri (PRN) adalah suatu manifestasi sistem demokrasi yang telus selain didambakan oleh rakyat negeri itu susulan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

"Pada bulan Mac lepas, saya dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan bahawa Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) diberi kepada Negeri Terenggganu.

"Jumlah pembayaran ini bagaimanapun bergantung kepada harga minyak bagi tujuan penyelarasan sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri.

"Oleh itu, saya mengalu-alukan sebarang bentuk inisiatif dan bantuan yang bermotifkan meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PRN Terengganu dan PRK Kuala Terengganu yang berlangsung pada 12 Ogos lepas mencipta sejarah selepas semua calon PN memenangi kesemua 32 kerusi DUN yang ditandingi termasuk satu kerusi Parlimen.

Perkembangan itu pastinya membuka lembaran baharu dalam politik di Terengganu apabila fungsi pembangkang sebagai semak dan imbang kepada kerajaan tidak berlaku dalam tempoh penggal ini.

Mengulas lanjut, Husain berkata, berdasarkan statistik, kadar pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu mengalami pertumbuhan di luar jangkaan pada 2022.

Jelasnya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu pada tahun lepas mencatatkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus dengan nilai berjumlah RM37.3 bilion.

Husain menambah ia berbeza daripada sasaran awal pertumbuhan iaitu hanya sekitar 3.5 peratus hingga 4.5 peratus sahaja sebagaimana dibentangkan dalam Belanjawan 2023 pada November lepas.

"Saya ingin menyatakan limpahan pertumbuhan ekonomi di Terengganu seperti disebut tadi sudah pasti akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara secara umumnya.

"Jadi, saya optimis hubungan baik dua kerajaan ini mampu dipertingkatkan dari masa ke semasa.

"Sesudah musim PRN sudah tamat baru-baru ini, kini adalah masa paling ideal bagi semua pihak berhenti bertelingkah dan bekerja keras demi kebajikan rakyat," ulasnya. - Sinar Harian