KUALA LUMPUR: Kerajaan terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa agar mencari kaedah terbaik dalam memperkenalkan undian secara elektronik pada pilihan raya akan datang.

Menurut bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, langkah itu dijangka dapat meningkatkan peratusan mengundi dalam kalangan rakyat terutama ketika pandemik COVID-19 masih melanda negara.

"Kita memang lama dah bincang perkara ini, saya dah pergi beberapa negara Kanada, United Kingdom, tetapi di UK belum lagi membuat ikhtiar membuka undian secara dalam talian.

"Tapi (undian dalam talian) ada dijalankan di Kanada cuma tidak terlalu meluas, saya diberitahu pihak berkuasa di sana, orang lebih gemar hadir secara fizikal di tempat mengundi. Tapi kita ada masalah sekarang ini (COVID-19), kita perlu atasi masalah itu.

"Tidak ada pilihan melainkan kalau kita nak peratusan pengundian purata kekal 85 peratus, kita amat bangga sebelum COVID-19 walaupun tidak paksa orang mengundi tapi masyarakat kita sedar untuk keluar mengundi. Di Kelantan, Terengganu peratusan mengundi tinggi sampai 95 peratus sebelum pandemik," jelasnya.

Tambah Ab Rashid, meskipun masih terdapat kelemahan dari sudut infrastruktur dalam menjalankan kaedah tersebut, namun ujarnya, tiada pilihan lain selain menjalankan undian secara dalam talian.

"Tapi amat tepat disebutkan Dr Manimaran (penganalisis ploitik), bahawa peratusan ini salah satu sebab menurun disebabkan orang takut nak keluar mengundi, ada juga mangsa COVID-19 yang mengambil pendirian untuk tidak mengundi.

"Cara paling sesuai ialah pengundian elektronik, kena carilah caranya. Ketika ini banyak teknologi moden, saya rasa kita tidak ada masalah kalau negara mahu.

"Saya harap SPR akan bertindak lebih sensitif perkara ini, kerana COVID-19 ini dilihat akan kekal masa lama, saya setuju cadangan kita kena lekas mengkaji dan kerajaan mesti bagi sokongan yang seharusnya kepada SPR menjalankan perubahan itu," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam Wacana resensi buku 'Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang' yang berlangsung menerusi Facebook Institut Kajian Etnik (KITA) pada Selasa.


Undian elektronik perlu diadakan PRU-15

Dalam pada itu, penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran pula berpendapat kaedah itu perlu diperkenalkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Jelasnya, langkah yang diambil Amerika Syarikat dan Korea Selatan dalam memperkenalkan undian secara elektronik termasuk menerusi emel juga perlu diambil perhatian.

"Kita memperluaskan kemudahan infrastruktur digital atau bukan digital, undi pos, kita kena pelbagaikan, sebagai contoh di Melaka, Sarawak peratus keluar mengundi hanya 60 hingga 65 peratus, di Johor pun dalam lingkungan tersebut sedangkan kita akan belanjakan RM1 billion dalam PRU akan datang berbanding PRU pada tahun 1959 iaitu RM2 juta sahaja.

"Kalau hanya keluar mengundi 60 peratus apakah maksudnya? Ada kita bimbang dan tidak yakin mungkin kerana COVID-19 atau lain-lain. Jadi kita kena bagi perubahan, di Korea Selatan dan Amerika Syarikat orang keluar mengundi ketika COVID-19 lebih ramai berbanding sebelum COVID-19," ujarnya.

Tambah Dr G Manimaran, jika perkara itu dapat dilakukan, beliau menjangkakan peratusan keluar mengundi setiap kali pilihan raya akan meningkat sekali gus menyuburkan demokrasi di negara ini.

"Bermaksud kita boleh meninggikan jumlah peratusan keluar mengundi, kita kena berfikir di luar kotak dan luar norma baharu.

"Kita sediakan undi pos, bukan hanya di luar negara tapi dalam negara. Ada pesakit COVID-19 mereka tidak boleh keluar mengundi, jadi apakah pilihan kita berikan kepada mereka.

"Kita bukan hanya perlukan sistem undang-undang dan mekanisme tetapi infrastruktur perlu ada, sebab itu di AS undi pos dan email dibenarkan, sebab itu peratus keluar meningkat ketika pandemik," jelasnya lagi.

Turut bersama dalam wacana itu Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Chang Peng Kee, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh dan Pengarah Pengasas KITA, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.