JOHOR BAHRU: Kerajaan Perpaduan menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menghasut rakyat sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan antara kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terbuka untuk dikritik tetapi sebarang cubaan menghasut rakyat sehingga mencetuskan konflik dalam masyarakat yang berbilang kaum, adalah tidak boleh dibiarkan.

Begitupun, beliau menegaskan, tidak akan mencampuri dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.

"Saya nak beritahu, kecam saya, saya boleh sabar. Kamu kecam Raja, nasib kamu.

"Saya sudah beritahu berulang kali, berbulan-bulan yang lalu saya tidak setuju Akta Hasutan dikenakan terhadap sesiapa yang mengkritik Perdana Menteri.

"Tetapi kamu kecam, saya tak guna Akta Hasutan. Kamu sentuh Raja, kamu sentuh Sultan Kedah, kamu sentuh Sultan Selangor, kamu sentuh Sultan Johor, saya dah beritahu saya tak nak campur... biar polis jalankan tugas, biar Jabatan Peguam Negara jalankan tugas, dan biar hakim (yang tentukan).

"Kritik Raja ada hadnya. Kamu gunakan sentimen hasut orang-orang Melayu benci kepada Cina, kamu hasut guna agama untuk menyatakan kita semua ini macam kafir, saya tegaskan di sini saya tidak akan bertolak ansur," kata beliau ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Tampoi pada Ahad malam.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menambah rakyat harus menolak pihak yang menggunakan politik kebencian dan ekstremis.

Dalam masa sama, beliau sekali lagi memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan bertahan sehingga tamat penggal dalam memastikan ekonomi dipulihkan, sekali gus menarik kemasukan pelaburan asing.

"Mereka boleh terus bermimpi untuk ambil alih kerajaan Persekutuan di saat Kerajaan Perpaduan terus jalankan kerja selamatkan negara dan rakyat berteraskan Ekonomi Madani,” kata Perdana Menteri lagi.