Skip to main content

Politik

Kerjasama BN hadapi PRN tidak langgar asas pembentukan Kerajaan Perpaduan - Azalina

PUTRAJAYA, 3 Ogos -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (tengah) bercakap pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ogos 2026 di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) hari ini._BERNAMA
Pendekatan kerjasama politik di peringkat negeri perlu dilihat secara berasingan daripada kedudukan Kerajaan Perpaduan di pusat. - Foto Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerjasama dan persefahaman yang dilakukan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak melanggar asas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ketua Penerangan UMNO itu berkata pendekatan kerjasama politik di peringkat negeri perlu dilihat secara berasingan daripada kedudukan Kerajaan Perpaduan di pusat kerana setiap negeri mempunyai landskap politik, kepimpinan dan peruntukan perlembagaan yang berbeza.

“Saya melihat negeri dengan pusat berlainan sebab setiap negeri itu ada perlembagaan negeri sendiri. Ia ada kepimpinan negeri dan Sultan atau Raja mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menggesa supaya BN menamatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat.

Azalina turut menegaskan bahawa BN akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat selaras ketetapan dibuat oleh pimpinan tinggi parti itu.

“(Ketetapan kekal diperingkat pusat) itu dinyatakan dalam banyak kenyataan media oleh kepimpinan parti saya, termasuk juga dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement