KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kerjasama yang terjalin antara pelbagai parti politik dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu dijadikan contoh terbaik di peringkat nasional.

Beliau berkata semangat Sabah Maju Jaya diterapkan dalam kalangan parti politik menjadikan Sabah dilihat sebagai sebuah negeri istimewa.

Jelasnya, ini memandangkan jalinan parti-parti GRS yang di dalamnya merangkumi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu menjadi petunjuk kerjasama politik boleh dijayakan sekiranya terdapat kesungguhan.

"Ini adalah contoh klasik. Jika kita bersungguh-sungguh membela rakyat, ini adalah contoh yang baik.

“Jangan terlalu banyak main politik sebaliknya tumpukan kepada apa yang rakyat mahu.

“Itulah yang menjadi keutamaan kita ketika ini dan bukannya soal populariti serta parti mana yang lebih bagus," katanya ketika sidang media selepas melancarkan Projek Pembangunan Lok Kawi Resort City dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Inisiatif Pelaburan Asing dan Domestik sebentar tadi.

Turut hadir ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Dalam pada itu, ditanya mengenai situasi politik negara ketika ini, Muhyiddin memaklumkan tetap menyokong usaha kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji bersama pimpinan tertinggi lain dalam mengukuhkan GRS di Sabah.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN memaklumkan, ketika ini tiada sebarang perbincangan rasmi dibuat berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, hanya perbincangan secara santai dibuat disebabkan mahu menumpukan kepada perkara yang diingini rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai.