SHAH ALAM: Ahmad Fadhli Shaari mendakwa wujud ‘cubaan’ untuk menggugurkan 47 pertuduhan yang dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ini.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ia selepas Datuk Raja Rozela Raja Toran tidak lagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri itu.

“Walaupun adalah kononnya jawapan dia (Raja Rozela) minta cuti. Ya, bolehlah untuk jawab minta bercuti.

“Tetapi tidak kah itu satu pelik? Kebetulan berlaku.

“Tuan-puan dengar kata-kata saya baik-baik, apa yang berlaku pada hari ini semuanya menjurus kepada menggugurkan kes Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) dan akan disucikan (kes), sesuci air mutlak embun di hujung kaki,” katanya ketika berucap pada Pentas Setiausaha Agung Perikatan Nasional di sini pada Khamis malam.

Terdahulu, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dalam satu kenyataan berkata Raja Rozela tidak lagi mengendalikan kes Ahmad Zahid kerana sudah memohon untuk bercuti sebelum bersara awal mulai 1 November depan.

Jelas beliau, Raja Rozela mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada 3 April lalu dan permohonannya diluluskan berkuat kuasa 1 November depan.

Sehubungan itu, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dipilih sebagai ketua pasukan pendakwaan baharu berdasarkan pengalaman luasnya hampir 30 tahun sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli menambah UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah kehilangan jati diri mereka selama ini.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, UMNO yang ada sekarang didakwa untuk menyelamatkan Ahmad Zahid semata-mata.

“UMNO yang ada hari ini ialah UMNO yang sudah karam. Sebab itu, saya percaya parti yang paling bungkus ikat tepi dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) ini ialah UMNO dan BN. Percaya tak percaya, tengoklah di PRN Kelantan, mereka turunkan pemain ‘divisyen B’, bukan divisyen utama,” dakwanya lagi.