SHAH ALAM: Tiga pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) perlu dibatalkan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan beliau daripada tuduhan rasuah.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, oleh kerana kesalahan utama atau predikat telah dibatalkan, maka pertuduhan AMLA tidak boleh berdiri secara sendiri.

"Keputusan mahkamah pagi ini (Selasa) akan memperteguhkan pendirian PN untuk menentang segala bentuk amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan hari ini selain memberi fokus untuk membangunkan ekonomi rakyat serta negara.

"PN yakin bahawa Muhyiddin tidak pernah terlibat dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa, malah beliau adalah seorang yang tuntas menentang rasuah termasuk skandal kewangan terbesar 1MDB (1Malaysia Development Berhad) sehingga beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"PN bertegas dari awal bahawa sekiranya kerajaan berpegang kepada prinsip 'rule of law', Muhyiddin tidak akan dituduh dalam mahkamah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti berkenaan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Pengerusi PN itu mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata, keputusan mahkamah pada hari ini membuktikan wujud campur tangan berniat jahat untuk mencalarkan imej dan kredibiliti Bersatu, khususnya Muhyiddin supaya rakyat menolak PN.

"Tetapi apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) adalah sebaliknya.

"PN telah menang besar di Terengganu, Kelantan, Kedah dan menang dengan jumlah yang signifikan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan," ujarnya.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian