KUALA LUMPUR: DAP menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC beliau dan memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikekalkan.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, keputusan itu merupakan satu kemenangan untuk rakyat Malaysia yang berani membuat perubahan pada 9 Mei 2018 untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

"Tanpa perubahan yang berlaku pada 9 Mei 2018, mustahil kes rasuah dan penyelewengan Najib dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

"Keputusan pada hari ini juga merupakan kemenangan untuk sistem demokrasi negara dan doktrin pengasingan kuasa di antara tiga cabang utama dalam sistem pentadbiran negara mesti dipertahankan selama-lamanya.

"Sistem kehakiman yang adil dan bebas dari pengaruh ekskutif adalah kunci utama untuk kelangsungan dan kemajuan negara," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Ikuti perkembangan kes Najib Razak di sini

[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Prosiding rayuan akhir Najib

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, biarlah keputusan membabitkan Najib menjadi pengajaran dan amaran kepada semua pihak yang diberikan amanah supaya jangan sesekali menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri.

"Hari ini juga membuka lembaran baru untuk negara maju ke hadapan dan melaungkan kepada seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia menolak rasuah dan kleptokrat!" tegasnya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.