KUALA LUMPUR: Ketelusan dalam pembiayaan politik perlu diperkukuh bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Penyelidik Eksekutif Kanan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Sabrina Firdaus Aloysius berkata, ketika ini rakyat masih kurang mengetahui sumber sebenar dana parti politik termasuk sumbangan daripada pihak korporat atau pembiayaan berkait kerajaan.
Menurut beliau, keadaan itu boleh membuka ruang kepada pengaruh tertentu dalam pembentukan dasar negara sekiranya tiada mekanisme kawal selia yang lebih jelas dan telus.
“Parti politik hari ini sudah bergerak pada skala yang lebih besar seperti organisasi korporat. Jadi terdapat perbezaan ketara antara parti yang sudah lama bertapak dan parti baharu.
“Kita dapat melihat kelebihan yang telah lama bertapak termasuk penggunaan sumber kewangan tertentu yang mungkin tidak begitu jelas atau sah dari segi pembiayaan berkait kerajaan. Jadi kita perlu memastikan perkara ini telus dan kita mahu mengurangkan budaya politik wang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di forum "IDEAS Resilient Democracy Symposium" di Kuala Lumpur pada Khamis.
Sabrina berkata, kekurangan ketelusan dana politik boleh menjejaskan demokrasi kerana rakyat tidak mengetahui pihak yang menyumbang kepada parti politik dan bagaimana sumbangan itu mempengaruhi keputusan dasar.
Katanya, antara langkah utama yang perlu diberi perhatian ialah pelaksanaan Akta Pendanaan Politik secara menyeluruh termasuk mewajibkan pendedahan identiti penderma serta menetapkan had sumbangan kepada parti politik. Justeru, ia dapat mempromosikan ketelusan dalam aktiviti pendanaan politik dan juga memperkenalkan pembiayaan awam
“Kita tahu pilihan raya semakin hampir tetapi ketelusan amat penting kerana pada akhirnya kita sendiri tidak tahu siapa yang menyumbang kepada parti politik.
“Penyumbang itu mungkin terdiri daripada pihak korporat dan perkara ini boleh mempengaruhi dasar negara. Sebab itu kita mahukan pendedahan identiti penderma sebagai langkah pertama,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan cabaran besar yang dihadapi parti-parti baharu terutama dari aspek pembiayaan operasi, pembangunan akar umbi dan kos kempen digital.
Menurutnya, parti baharu masih banyak bergantung kepada kaedah crowdfunding selain perlu menanggung kos sewaan pejabat dan pengurusan yang lebih tinggi berbanding parti yang telah lama bertapak.
Sabrina turut mencadangkan pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya yang disifatkan sudah lapuk selain menyeru pelaksanaan sistem agihan peruntukan kawasan yang lebih adil dan tidak dipolitikkan.
Beliau berkata, pendidikan pengundi juga perlu diperkasa supaya rakyat memilih wakil rakyat berdasarkan dasar dan polisi, bukan semata-mata bantuan kebajikan atau politik wang.