KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan menyambut baik keterbukaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin pembangkang yang menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk bekerjasama demi kebaikan negara.

Pada masa sama, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO yakin kerjasama antara Perdana Menteri dan pemimpin pembangkang adalah bukti awal keupayaan Ismail Sabri sebagai pemimpin utama negara untuk menjamin kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran negara.

“Saya berharap perkembangan positif ini merupakan titik tolak ke arah suatu era kestabilan dan kerjasama politik sejajar dengan tema Keluarga Malaysia, sekali gus akan membantu pembuatan dasar-dasar Kerajaan yang sesuai dengan keperluan semasa serta meningkatkan keyakinan pelabur ke arah pemulihan ekonomi yang menguntungkan rakyat,” jelasnya kepada Astro AWANI.

BACA: Pertemuan bersama PH: Capai kesepakatan agenda kepentingan rakyat - PM

BACA: PH tiada masalah jika PM komited tangani COVID-19, ekonomi rakyat - Anwar

BACA: Undi tidak percaya: Jika PM komited tangani COVID-19, PH tidak mahu 'persulitkan' keadaan - Anwar

Tambahnya, persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri dan pemimpin pembangkang menunjukkan semua pihak, terutamanya Ismail Sabri benar-benar memahami betapa pentingnya kemelut politik ini tidak berlarutan, khususnya ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi.

Pemimpin Pakatan Harapan yang terdiri daripada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya pada Rabu.

Dalam kenyataan bersama susulan pertemuan itu, mereka bersetuju untuk memberi tumpuan kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis COVID-19, menjaga nyawa, dan keselamatan rakyat.

Selain itu kenyataan tersebut menyebut, mereka telah mencapai persetujuan bersama dalam memperkasa Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif, supaya lebih telus, dan memenuhi kehendak rakyat.

“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi, dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks ‘Keluarga Malaysia’,“ menurut kenyataan bersama itu lagi.