PERHIMPUNAN Agung Tahunan MIC Ke-74 yang baru diadakan di Bandar Diraja Kelang kali ini dianggap panas dan cukup mengejutkan pemimpin UMNO.

Meskipun UMNO membuat  keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) mereka, MIC pula menzahirkan sokongan  kepada kerajaan Perikatan Nasional kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga Mesyuarat Dewan Tertinggi BN membuat ketetapan terhadap hubungan politik  dengan   Bersatu dalam PRU15.

Segelintir daripada barisan kepimpinan UMNO memberikan reaksi secara spontan terhadap keputusan MIC tersebut.

Menurut Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, kepimpinan parti itu tetap menghormati keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, namun MIC berhak mengambil keputusan tersendiri untuk terus menyokong kerajaan yang diterajui Muhyiddin.

Keputusan MIC juga mengejutkan sesetengah pihak yang mempunyai tanggapan bahawa parti hanyalah sebuah 'pak turut' UMNO dalam Barisan Nasional (BN) yang akan mengikuti telunjuk UMNO dalam apa juga ketetapan politik dibuat.


Lembaran Baharu
 
Selain itu, perhimpunan tersebut itu juga membuka lembaran baharu dalam sejarah MIC buat julung kalinya ia dijalankan dalam norma baharu, iaitu pertemuan secara maya.

Malah inti pati yang teradun dalam Ucapan Dasar Presiden MIC turut memperlihatkan satu kelainan yang tidak pernah wujud sebelum ini.

Ucapan Vigneswaran tampak lebih lantang dan berani berbanding ucapan dasar presiden-presiden sebelum ini dalam menyuarakan sentimen, aspirasi dan hasrat kaum India.

Ucapan beliau yang penuh semangat mendapat sambutan hebat daripada perwakilan dan sebahagian besar kaum India yang mengikuti perjalanan perhimpunan agung di media sosial.

Dalam pada itu, pendedahan yang dibuat Presiden MIC bahawa pelantikan Timbalan Presiden MIC sebagai menteri oleh Muhyiddin tanpa sebarang cadangan dan pencalonan daripada BN membuka persepsi baharu terhadap BN dalam kalangan ahli MIC.

Malahan, sebahagian besar masyarakat India menunjukkan kekecewaan terhadap BN yang dilihat gagal dalam menyerlahkan sifat inklusif dan jujur untuk menjaga kepentingan masyarakat India.

Bukan itu sahaja, ucapan Vigneswaran kali ini turut membawa kejutan kerana menyentuh perkara-perkara yang dianggap taboo dan tidak dibincangkan secara terbuka dalam kalangan kaum India selama ini.

Presiden MIC pada kali ini bukan sahaja menjelaskan kepentingan Raja-raja Melayu bahkan peranan penting institusi tersebut dalam memastikan keamanan, keharmonian dan kestabilan politik negara.

Beliau menjelaskan secara terperinci tentang beberapa perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dari aspek perundangan secara ikhlas.

Antara perkara yang disentuh ialah kepentingan dan peranan Institusi Raja-raja Melayu serta kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Beliau memberikan penekanan bahawa kedua-dua perkara tersebut yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan  perlu dihormati oleh semua rakyat.

Vigneswaran yang merupakan lulusan ijazah dalam jurusan undang-undang,  turut mengupas secara tuntas beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan dan mengaitkannya dengan kebebasan beragama.

Dalam konteks ini, beliau menjelaskan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong perlu ditafsir dan diteliti secara telus serta seimbang.

Pertamanya, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk menjamin kedudukan tinggi agama Islam dan kedua, Yang di-Pertuan Agong juga diperuntukkan kuasa untuk membela  kepentingan sah kaum–kaum lain.

Kedudukan ini jelas dinyatakan dalam Perkara 3 dan 181(1).

Inti pati kedua-dua Perkara tersebut adalah Islam merupakan agama bagi Persekutuan; Raja-raja Melayu adalah ketua agama di negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri tidak beraja serta kebebasan untuk mengamalkan agama secara aman bagi orang bukan Islam.

Beliau menggabungjalinkan perkara tersebut dengan prinsip Rukun Negara yang menjadi identiti negara, terutamanya prinsip pertama dan prinsip kedua dalam Rukun Negara.

Menurut beliau, prinsip pertama Kepercayaan kepada Tuhan bukan mengesyorkan kepercayaan hanya orang Melayu atau penganut agama Islam terhadap agama Islam secara eksklusif, tetapi penganut agama-agama lain juga harus  percaya kepada 'Tuhan' mengikut ajaran dan tuntutan agama  mereka.

Prinsip kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara pula tidak hanya melibatkan kesetiaan  orang Melayu semata-mata, tetapi merangkumi keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya, bahasa dan juga fahaman politik.

Pendek kata, Rukun Negara menunjukkan nilai-nilai yang perlu diterapkan dan diamalkan oleh semua warganegara tanpa merujuk kepada mana-mana kaum atau agama tertentu.



Sehubungan itu, dengan sifat rendah diri, Presiden MIC merafak sembah dan memohon pertimbangan Raja-raja Melayu dalam membela kepentingan agama bukan Islam, di samping memayungi agama Islam sebagai agama Persekutuan di negeri masing-masing.

Di samping itu juga, Presiden MIC menggesa kerajaan PN untuk menerima pakai dan melaksanakan cadangan-cadangan pelan Tindakan (Blue Print) yang disediakan khas oleh kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha membangunkan sosioekonomi kaum India.

Bahkan, satu gesaan juga dibuat agar pihak kerajaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dalam melaksanakan cadangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk menjadikan Lembah Bujang sebagai tapak warisan dunia.

Jelas sekali, ucapan dasar Presiden MIC kali ini menunjukkan parti itu telah keluar dari kepompong lama dan bertransformasi dalam usaha untuk membentuk sebuah pemikiran politik baharu dalam kalangan kaum India.

Walaupun sudah berusia 74 tahun, namun MIC berada di landasan kedewasaan sehingga mampu menentukan pilihan politik yang terbaik untuk masa depan kaum India di bawah kepimpinan Vigneswaran.

Anjakan paradigma dalam pemikiran dan pendekatan MIC kepimpinan Vigneswaran akan meningkatkan martabat MIC sebagai sebuah parti politik terkemuka dalam medan politik negara.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, sosio-budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.