TEMERLOH: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Temerloh, Siti Aisyah Ismail bersama 17 ahli jawatankuasa sayap itu yang dipilih, telah mengumumkan meletak jawatan.

Turut sama mengikut jejak tersebut ialah Pengerusi Tetap Srikandi Bahagian, Naib Ketua Srikandi, sembilan orang AJK Srikandi Bahagian, empat Ketua Srikandi cawangan dan empat AJK Bahagian yang berkuat kuasa 30 September lalu.

Siti Aisyah mendakwa sikap kepimpinan bahagian yang tidak boleh bertolak ansur menyebabkan mereka semua berasa diabaikan dan haknya sebagai Ketua Serikandi dinafikan.

“Jadi saya cuba minta bantuan daripada Datuk Seri Saifuddin Abdullah selaku BPN (Ketua Badan Pimpinan Negeri) dengan berjumpa secara empat mata berbincang, tetapi masih diabaikan permintaan kami supaya ada pembetulan dalam bahagian Temerloh.

"Setelah masuk setahun lebih sehingga persidangan baru ini dan persidangan cawangan, masih lagi benda sama berlaku.

"Jadi saya rasa sudah sampai masanya saya kena meletak jawatan kerana tidak ada kerjasama dan sangat tidak berpuas hati dengan kepimpinan pemangku ketua bahagian sekarang," jelasnya.

Menurut Siti Aisyah, setakat ini beliau belum membuat keputusan untuk keluar parti dan keputusan peletakan jawatan yang dibuat tidak ada kena mengena dengan tawaran daripada mana-mana parti.

Beliau yang dilantik menjadi penaja Srikandi pada 2016 dan menang pemilihan parti pada 2020 berkata surat peletakan jawatan tersebut diterima Setiausaha Bahagian Bersatu Temerloh, Syed Omar Syed Abdul Aziz pada 11 Oktober.

Pada masa ini Timbalan Bersatu Bahagian, Mohd Yusoff Abdullah, memangku jawatan Ketua Bahagian Temerloh selepas Tan Sri Tengku Azlan Sultan Ahmad Shah keluar parti.