Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata Lembaga Disiplin PKR tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar salah laku disiplin berkenaan hal pentadbiran kerajaan negeri.

Oleh kerana itu, beliau berkata adalah tidak munasabah bagi Lembaga Disiplin memberikan beliau masa yang singkat untuk menjelaskan lima perkara berkenaan pentadbiran kerajaan negeri.

Abdul Khalid berkata lima perkara tambahan itu merupakan perkara-perkara yang telah dibincangkan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKM) dalam kuasa eksekutif mentadbir negeri Selangor.

“Ini jelas menunjukkan bahawa Lembaga Disiplin sendiri tidak jelas dan tidak konsisten dengan kononnya apa-apa salah laku oleh saya dan perkara-perkara yang perlu saya jawab,” katanya di dalam surat jawapan tunjuk sebab kepada lembaga itu yang didedahkan di laman media sosial Facebook dan Twitternya.

1


1
1

Abdul Khalid telah diminta memberi penjelasan berhubung lima perkara iaitu penstrukturan air Selangor, elaun baharu Menteri Besar, kenaikan cukai bagi lesen perniagaan, pinjaman dengan Bank Islam, serta cadangan pembinaan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX).

Beliau turut berkata tindakan Lembaga Disiplin itu bertentangan dengan cogan perjuangan parti, ‘Keadilan Untuk Semua’.

Katanya, sebagai parti yang berjuang demi keadilan untuk semua, beliau seharusnya juga diberi peluang yang nyata, bukan secara maya untuk membela diri jika memang benar terdapat isu salah laku terhadapnya.

“Malangnya, tindakan Lembaga Disiplin terhadap saya sangat mencurigakan dan bertentangan dengan cogan parti serta prinsip keadilan semula jadi serta tidak mengikut proses yang betul.

“Saya berasa amat risau bagaimana tergesa-gesanya perkara tindakan disiplin ini sedang dilaksanakan seperti sebagaimana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasa risau mengenai rayuannya dalam Mahkamah Rayuan yang dikatakan dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya.

Abdul Khalid juga telah meminta sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR yang dijadualkan petang ini, ditangguhkan kepada 15 Ogos.

Abdul Khalid berkata notis yang diberikan kepada beliau supaya menghadiri sesi itu adalah terlalu singkat dan tidak sampai 24 jam menyebabkan beliau menganggapnya sebagai tidak munasabah serta tidak adil.

Di dalam surat tersebut, Abdul Khalid turut berkata beliau tidak dapat menghadirkan dirinya ke sesi pendengaran tersebut kerana terikat dengan tanggungjawabnya sebagar Menteri Besar Selangor pada masa pendengaran tersebut.

Tambah beliau sekiranya Lembaga Disiplin hendak meneruskan pendengaran itu, ia harus memaklumkan nama ahli Lembaga Disiplin yang akan bersidang dalam sesi perbicaraan, prosedur yang akan diterima pakai semasa sesi itu, sama ada beliau boleh diwakili peguam dan sama ada beliau boleh membawa pegawai-pegawai bersama.