IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang pendirian berkaitan pendekatan 'khemah besar' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat kepimpinan tertinggi parti untuk mencapai satu kata putus mengenainya.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara tersebut juga akan dibincangkan dengan rakan parti komponen di dalam Perikatan Nasional (PN).

"Setakat ini, kita belum berbincang, khemah mana yang kita nak masuk - khemah besar atau khemah kecil. Terserah kepada presiden.

"Apabila tiba masanya, rakan-rakan dalam Perikatan Nasional tentu bersama kita, komited, terutama sekali di Semenanjung ini.

"Pas dan Bersatu sebagai rakan akrab, rakan kongsi yang akan meneruskan agenda perjuangan agama bangsa dan tanah air, menolak kleptokrasi, menolak segala bentuk kemungkaran dan salah guna kuasa.

"Kita akan teruskan perjuangan ini demi kepentingan rakyat dan negara, memperbaiki imej negara yang tercalar dengan teruk sekali," kata Ahmad Faizal.

Beliau ditemui semasa program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia Negeri Perak di Tambun dekat sini, hari ini.

Pada Khamis, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pemimpin parti pembangkang perlu berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan pendekatan 'khemah besar' sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Menurutnya, kesepakatan barisan pembangkang cukup penting bagi PRU15 kelak dengan hanya satu musuh utama iaitu Barisan Nasional (BN).

Terdahulu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam kenyataan berkata, pendekatan 'Khemah Besar' yang dianjur Amanah tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu UMNO, Bersatu atau Pas.

Jelasnya, Amanah menghormati dan meraikan perbezaan pandangan pelbagai pihak mengenai pendekatan 'Khemah Besar' sebagai pendekatan politik Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15, namun kefahaman tepat perlu sebelum perbincangan diadakan.