Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) kini berada di tahap 'gear lima' dalam memperhebatkan jentera parti bagi memenangkan calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, meskipun jentera parti pemerintah sentiasa menerima tohmahan melampau dan serangan bersifat peribadi daripada pihak pembangkang, ia sesekali tidak mematahkan semangat juang mereka.

Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah itu mendedahkan, UPKO bersedia menyerahkan 2,200 undi ahlinya di Kimanis untuk memenangkan calon mereka, Datuk Karim Bujang.

Jelas Madius, beliau kesal dijadikan 'kambing hitam' susulan tindakan partinya keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menyertai kerajaan Warisan sehingga dituduh sebagai punca pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

"Itu bererti mereka sudah mula kehilangan modal, sudah mula serangan peribadi, sudah tiada apa lagi mahu cerita.

"Apabila kita mengatakan ini yang dibuat kerajaan, mereka putar belit. Jadi, biarlah rakyat yang nilai pemimpin-pemimpin seperti ini, yang hanya mampu untuk mengelirukan rakyat tetapi tiada cadangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta menjawab tuduhan yang dilemparkan pemimpin BN terhadapnya kerana didakwa belot dan bertanggungjawab ke atas isu PSS di Sabah.

Menjelaskan momentum UPKO, Madius berkata, pihaknya percaya dan yakin pengundi di Kimanis khususnya masyarakat KadazanDusun Murut (KDM) tidak akan terpengaruh dengan dakyah mengelirukan mengenai PSS yang kini hebat dibawa pembangkang.

"Ada orang bertanyakan kepada saya, masakan Madius begini, dia mempunyai track record dari segi perjuangan menyelesaikan masalah kebanjiran PATI di Sabah, takkan tiba-tiba dia buat begini.

"Saya cakap, ini hal-hal peribadi. Kalau mahu ungkit hal peribadi, ada macam-macam bah. Janganlah bah ungkit macam gitu, kawan bah kita dengan dia orang.

"Kita mahu cerita pasal masalah rakyat, itu yang mereka mahu dengar daripada kita, bukan memburuk-burukkan antara satu sama lain," jelasnya.

Senada dengan Madius, Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, isu basi dan PSS yang dibawa pembangkang tidak menjejaskan momentum di pihak parti pemerintah di PRK Kimanis.

Jelasnya, parti terdahulu yang mendominasi pimpinan kerajaan sebenarnya telah terlalu lama diberikan peluang menyelesaikan segala isu, termasuk melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

"Ini kerana mereka menjadi sebahagian daripada masalah itu, kerana mereka mempunyai peluang untuk menyelesaikan masalah yang tertangguh, termasuklah masalah nombor satu di negeri ini iaitu PATI.

"Tetapi, tiada penyelesaian yang konkrit telah dapat dicapai semasa peluang itu diberikan kepada pimpinan parti tersebut menerajui kerajaan di Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

"Pada saya, ia satu tarik tali yang mudah kita jelaskan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, bagi Ketua Pemuda UPKO Felix Joseph Saang, dari sudut konteks belia di Kimanis pula berpendapat bahawa sudah sampai masanya untuk membina harapan baharu di samping kerajaan pemerintah iaitu Warisan, PH dan UPKO.

Menurutnya, harapan golongan belia di situ mampu direalisasikan oleh aspirasi daripada Ahli Parlimen yang berpihak kepada kerajaan sedia ada.

"Setelah seminggu di sini, belia di sini melihat seperti juga belia di tempat-tempat lain. Mereka inginkan peluang seperti peluang pekerjaan supaya mereka boleh membina kerjaya, boleh memulakan perniagaan dan sebagainya.

"Saya yakin dengan adanya ahli parlimen di pihak kerajaan, boleh melakukan sesuatu yang boleh membantu golongan belia," katanya.

Untuk rekod, UPKO telah menyertai gabungan kerajaan pemerintah Warisan-PH selepas kemelut pentadbiran di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.