Parti baharu yang akan ditubuhkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelak akan dihakimi oleh rakyat, sama ada ia diterima atau sebaliknya.

Demikian kenyataan dibuat Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa yang bagaimanapun menyifatkan ia adalah hak bekas pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk menubuhkan sebarang parti kerana beliau kini berada dalam blok bebas.

"Tun tentunya ada perhitungan sendiri dalam politik. Adalah menjadi hak mana-mana individu untuk menubuhkan parti politik, dan yang pentingnya, harus menjadi parti politik yang sah dan berdaftar.

"Sama ada (parti baharu) menjadi kuasa ketiga, atau diterima atau tidak, itu terpulang kepada rakyat yang sentiasa dekat dengan politik dan mempunyai pertimbangan dan pengalaman yang panjang.

"Itu kita serahkan balik kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan Majlis Transformasi Taman Tasik Titiwangsa di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) di sini malam tadi.

BACA: Tun Mahathir umum akan tubuh parti Melayu baharu

BACA: 'Hak beliau untuk tubuh parti baharu' - Anwar Ibrahim

Annuar diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang pada Jumaat mengumumkan penubuhan parti baharu yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Katanya, asas perjuangan parti yang belum diberi nama itu masih mengekalkan dasar asal Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diasaskannya bersama sebelum ini, iaitu menghapuskan rasuah dan kleptokrasi.

Annuar berkata, UMNO sedia menerima Dr Mahathir sekiranya beliau ingin kembali kepada parti itu, mahu pun Bersatu.

Dr Mahathir berkata penubuhan parti baharu itu akan menjadi kuasa ketiga dalam arena politik negara.

Parti yang belum dinamakan itu, kata Dr Mahathir bakal menjadi kumpulan penentu kepada siapa yang akan mendapat kemenangan pada pilihan raya umum ke-15.