KUCHING: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin enggan memberi komen mengenai cadangan supaya beliau bertanding di kerusi Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Oh tak payahlah," jawabnya ringkas ketika diminta mengulas selepas mengadakan lawatan ke Hospital Umum Sarawak pada Isnin.

Beliau sebelum itu melawat beberapa fasiliti kesihatan sekitar Samarahan termasuk Hospital Simunjan dan Klinik Kesihatan Gedong.

Sebelum ini Khairy menyatakan tidak akan mempertahankan kerusinya di Parlimen Rembau dan memberikan laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan nasibnya pada PRU15.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin mengalu-alukan sekiranya Khairy berminat bertanding di Parlimen Seremban pada PRU15.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dalam kenyataannya berkata tidak gentar berdepan Khairy di Seremban sekali gus mempertahankan kerusinya.

Ia disifatkan sebagai pertembungan sengit di kerusi panas berkenaan.

Pada PRU14 menyaksikan kerusi Seremban dirampas Anthony atas tiket Pakatan Harapan (PH) dalam pertandingan tiga penjuru berdepan Barisan Nasional Ah Chong @ Chong Sin Woon dan calon Gagasan Sejahtera Shariffuddin.