DALAM sejarah pilihan raya, terutama sebelum negara merdeka, Melaka merupakan antara negeri yang pernah mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, sekali gus mendedahkan rakyat kepada pilihan raya demokrasi.

Pada hari ini, Melaka, tanpa diduga, buat julung kali, akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) mengejut.

Mengikut lipatan sejarah, Melaka merupakan negeri kedua di Semenanjung mengadakan pilihan raya mengejut selain Kelantan yang telah mengadakannya pada tahun 1978 susulan pengisytiran darurat di penghujung tahun sebelumnya.

Lebih mengejutkan, PRN mengejut melibatkan Melaka ini berlangsung ketika tumpuan negara memfokus kepada krisis politik di negeri jirannya, Negeri Sembilan yang muncul semula selepas reda buat seketika.

Ramai telah menjangkakan bahawa krisis politik di Negeri Sembilan yang akan membawa kepada pilihan raya mengejut.

Bagaimanapun, ia telah diselesaikan buat masa sekarang, termasuk ekoran pertimbangan berkaitan dengan pandemik COVID-19.

Beberapa persoalan turut menyusul ekoran perkembangan yang melibatkan Melaka, yang terdiri daripada enam kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, pilihan raya, yang tarikhnya telah diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), akan berlangsung pada 28 November ini dengan kos sekitar RM46 juta.

Peruntukan diumumkan SPR ini hanya melibatkan peruntukan di pihak suruhanjaya itu.

Ia tidak melibatkan perbelanjaan pilihan raya yang turut akan melibatkan agensi-agensi lain, termasuk parti-parti politik dan calon secara langsung dan secara tidak langsung.

Bermakna jumlah sebenar wang yang bakal digunakan, dilabur dan dibelanjakan dalam PRN Melaka akan melibatkan jumlah yang lebih besar. Kos pilihan raya hanya satu aspek.

Sementara banyak pihak mengetengahkan kebimbangan mengenai impak COVID-19 yang belum reda, meskipun kerajaan telah membenarkan rentas negeri, bagaimana pula dengan kedudukan PRN-12 Sarawak?

Darurat melibatkan DUN Sarawak yang dilanjutkan dijadual hanya akan berakhir pada 2 Februari 2022. DUN telah terbubar dengan sendiri pada Jun lalu.

Pada awal tahun ini, susulan perintah darurat yang dikuatkuasakan sejak Januari lalu telah membawa kepada penangguhan PRN-12 Sarawak sehingga Ogos dan kemudian dilanjutkan sehingga Februari 2022.

Kini spekulasi semakin kuat bahawa PRN-12 akan diadakan tidak lama. PRN itu kemungkinan dipercepatkan dengan membatalkan perintah darurat yang masih dikuatkuasakan.

Bermakna, sebahagian daripada spekulasi itu adalah PRN-12 Sarawak akan diadakan lebih awal, serentak bersama PRN Melaka akhir bulan depan.

Pada masa yang sama, nasib pilihan raya kecil melibatkan empat kerusi iaitu Batu Sapi (Sabah), Gerik (Perak), Bugaya (Sabah) dan Melor (Kelantan) masih belum diketahui status.

Apakah pilihan raya kecil melibatkan kesemua empat kerusi ini bakal diadakan tidak lama lagi sebagaimana telah dimaklumkan bahawa kesemua akan diadakan sebaik sahaja pandemik COVID-19 reda.

Apakah pilihan raya negeri mengejut Melaka turut memberi impak ke atas bakal tarikh PRN-12 Sarawak?

Tanggapan ini kemungkinan ada kebenaran meskipun sebelum ini antara pertimbangan yang diketengahkan, termasuklah pilihan raya akan diadakan apabila imuniti kelompok mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

PRN-12 Sarawak jika dipanggil sekarang juga menjadi 'kejutan' dan pada masa yang sama juga satu 'dilema'. Ini kerana sesetengah pihak berpandangan bahawa penangguhan semasa perlu dikekalkan sehingga awal tahun depan bagi terus menstabilkan impak krisis kesihatan semasa akibat COVID-19.

Pada masa yang sama, beberapa pihak beranggapan PRN Melaka wajar ditangguhkan bagi mengelakkan senario kesihatan buruk yang pernah dialami ekoran PRN Sabah pada September tahun lalu, yang turut diadakan secara mengejut pada tahun lalu.

Nampaknya kita berada dalam dilema, khusus dalam menghadapi cabaran pengurusan COVID-19 yang tidak pernah disaksikan. Meneruskan PRN Melaka dan kekal tangguh PRN-12 Sarawak, atau mengadakan kedua-duanya, sama ada secara serentak atau secara berasingan.

Pilihan kita terhad jika dilihat dari perspekif pilihan raya demokrasi. Begitu juga dengan pilihan raya kecil melibatkan empat kerusi.

Kita akan ada jawapan kepada soalan-soalan ini tidak lama lagi sementara kita mempertahankan semangat demokrasi tetapi pada masa yang sama kita bertanggungjawab menjaga kesihatan rakyat.



* Dr G Manimaran merupakan pengamal media dan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.