POLITICS
[KOLUMNIS] Keberanian PKR dalam mencorakkan masa depan politik
![[KOLUMNIS] Keberanian PKR dalam mencorakkan masa depan politik [KOLUMNIS] Keberanian PKR dalam mencorakkan masa depan politik](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-05/51747733247_tbperhimpunanPKR.jpg)
Para sarjana dengan jelas menyatakan bahawa perubahan struktural parti adalah penting diselarikan dengan kehendak semasa rakyat andainya sesebuah parti politik itu ingin kekal relaven dengan masa. - Gambar fail
DALAM beberapa minggu ini adalah suatu yang janggal jikalau ada mana-mana pemain politik hatta rakyat sekalipun yang tidak terkesan dengan aktiviti pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Ia bukanlah kerana parti ini amat unik atau cukup besar pengaruhnya kepada rakyat tetapi tidak lain dan tidak bukan adalah kerana dua faktor utama yang terkait secara langsung dengan PKR iaitu ia adalah parti yang mengetuai kerajaan sekarang dan kerana persaingan menduduki jawatan Timbalan Presiden parti yang dilihat cukup bermakna kepada pemimpinnya.
PKR sebagai parti kepala pemerintah
Ia adalah hakikat yang tiada siapa pun boleh menolaknya. PRU15 telah menjadi a new political milestone kepada PKR bilamana presidennya sendiri yakni Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Sama ada ianya adalah kerana wujud percaturan awal atau sebaliknya sehingga pemimpin PKR itu berjaya menjadi PM, itu bukanlah suatu perkara yang penting, yang pentingnya ialah Ketua Parti itu telah menjadi Perdana Menteri di mana ia dijangka mampu menjadi a political booster kepada PKR untuk kelangsungan jangka panjang hayat mereka dalam radar politik negara.
Berjayanya Anwar memegang tampuk kerusi Perdana Menteri adalah satu tindakan strategik yang menjadikan PKR semakin menarik di mata pemain politik tanah air.
Jawatan kedua parti dan sinergi politik
Namun begitu, bulan ini akan menjadikan akronim PKR lebih popular cariannya di internet. Ianya tidak lain dan tidak bukan kerana perebutan jawatan Timbalan Presiden parti di antara penyandang iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga merupakan seorang Menteri dalam Kabinet Kerajaan semasa dengan Nurul Izzah Anwar yang secara kebetulannya merupakan anakanda sulung kepada Presiden parti sendiri.
Perebutan jawatan ini bukanlah suatu yang biasa sebagaimana yang berlaku dalam mana-mana parti politik lain seperti UMNO, MCA, MIC, Bersatu, Pas hatta DAP sekalipun.
Tiada yang menariknya jawatan Timbalan Presiden bagi kesemua parti yang dinyatakan tadi kerana ironisnya tiada perubahan ketara pun daripada keadaan sebelumnya.
Namun, bagi PKR dinamiknya amat berbeza. Dinamik jawatan nombor dua PKR kali ini betul-betul menyantuni kehendak dan aspirasi semasa rakyat Malaysia. Ini kerana kedua-dua calonnya adalah merupakan tokoh muda berpendidikan dan tokoh masa depan parti itu sendiri.
Siapa yang tidak kenal Rafizi. Beliau antara individu yang dianggap cukup berpengaruh pada PRU15 dalam kem Pakatan Harapan (PH). Ceramah dan ulasannya di media sosial cukup memberi kesan kepada rakyat.
Kebijakannya menggunakan Invoke sebagai political machinery jelas terbukti berkesan. Ini membuktikan bahawa pada masa itu beliau berjaya mengenengahkan diri dengan cukup bijak kepada rakyat dan juga kepada ahli parti sehingga beliau memenangi jawatan Timbalan Presiden
PKR kemudiannya dilihat sebagai parti yang seolah-olah boleh menjadi pentas yang terbaik untuk orang muda Malaysia. Rafizi dilihat sebagai ikon untuk orang muda Malaysia dan PKR adalah “rumahnya”. Itulah hebatnya PKR dalam cubaannya meletakkan nama parti berkenaan di dalam benak minda generasi muda Malaysia.
Tahun ini, pemilihan parti sekali lagi berlangsung dan kelihatannya parti ini sekali lagi mengambil langkah yang boleh dikatakan sebagai “beyond than the ordinary” bilamana jawatan nombor dua ini sekali lagi ada pertandingan.
Tiada usaha dibuat untuk diuruskan secara rundingan politik sebagaimana parti-parti lain agar jawatan itu kekal tidak dipertandingkan. Ianya terbuka kepada semua yang berkelayakan.
Makanya apabila anakanda kepada Presiden parti sendiri menawarkan diri untuk bertanding, tiada siapa pun dalam parti berkenaan menghalang termasuklah ayah dan ibunya sendiri. Semuanya dilaraskan kepada prinsip demokrasi kepartian.
Dinamika politik kepartian seperti ini adalah sesuatu yang menarik dan seharusnya dapat dicontohi sama oleh parti-parti politik lain seperti UMNO, MCA, MIC, Pas, Bersatu mahupun DAP. Peremajaan semua parti perlu bermula daripada pembugaran saf kepimpinan.
Para sarjana dengan jelas menyatakan bahawa perubahan struktural parti adalah penting diselarikan dengan kehendak semasa rakyat andainya sesebuah parti politik itu ingin kekal relaven dengan masa.
Barangkali selepas ini, UMNO, MCA, MIC, Pas mahupun Bersatu akan lebih sensitif dengan dinamika politik seperti ini. Berilah peluang kepada yang lebih muda untuk sama-sama memikul amanah menjayakan agenda parti. Ikutlah resam sang helang yang pasti akan membuat rejuvinasi kendiri untuk mereka kekal menjadi raja di angkasa.

Berbalik kepada pertandingan jawatan Timbalan Presiden ini, masih ramai pemain politik yang melihat kemahuan Nurul Izah menawarkan diri bertanding jawatan nombor dua dalam partinya sebagai langkah yang songsang.
Dijustifikasikan sebagai nepotisme, terlalu bercita-cita tinggi yang tidak kena masanya dan pelbagai lagi label. Secara jelas, dogma pemikiran politik begini adalah cukup sempit kerana ketidakmampuan melihat Nurul Izah adalah seorang individu yang melebihi daripada batasan diri sebagai seorang anak kepada Presiden.
Seharusnya, ukuran pengalaman politik lebih diberi keutamaan, sebagai contoh Nurul Izah ini sebenarnya bukanlah asing beraksi di Dewan Rakyat kerana beliau pernah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal sebelum ini dan keupayaannya cukup terserlah apabila beliau cukup lantang bercakap tentang dasar-dasar utama kerajaan dan seumpamanya.
Selain itu, DNA ibunya yang suka bermasyarakat juga menyerap kuat dalam dirinya di mana beliau juga aktif dengan gerakan-gerakan NGO yang memperjuangkan hak-hak rakyat.
Pendek kata, kredibilitinya atas kemampuannya sebagai seorang pemimpin muda yang realistik kepada keadaan.
Kesimpulannya, apa pun dinamika politik yang sedang berlaku, negara ini ternyata tidak kontang dari segi penawaran pemimpin muda dari kalangan kaum hawa.
Namun, pendidikan, umur, bakat, pengalaman, keperibadian dan kesetiaan adalah elemen-elemen politik terpenting untuk jawatan nombor dua dalam PKR jikalau parti itu ingin bergerak jauh dengan jaya. Prasyarat itu perlu ada dan dipenuhi kerana orang nombor dua dalam parti perlu menjadi pendokong kuat kepada Presiden.
Ibarat kepala dan tengkuk di badan, mana mungkin boleh jika kepala ingin berpaling ke kanan, tengkuk pula ingin ke kiri. Pastinya akan mengundang kemusnahan dan kecelakaan.
Oleh itu adalah tidak keterlaluan jika boleh dikatakan bahawa elemen-elemen politik bagi jawatan Timbalan Presiden ini terlihat lebih adanya pada Nurul Izzah berbanding dengan pesaingnya.
Semoga pertandingan jawatan ini berlangsung dengan aman serta dapat membawa sinergi politik yang baharu kepada PKR dan Malaysia amnya.
** Datuk Professor Adjung Dr Ahmad Masrizal Muhammad merupakan bekas Senator Dewan Negara, bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
*** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami