Rakyat Thailand sambut perayaan Loy Krathong dalam suasana sayu, hormati kemangkatan Bonda Ratu

Suasana sambutan tahun ini di sepanjang Sungai Chao Phraya tidak semeriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. - Gambar Reuters
BANGKOK: Rakyat Thailand menyambut perayaan Loy Krathong, satu daripada acara tradisi paling dihargai di negara itu, dalam suasana sayu tahun ini bagi menghormati Bonda Ratu, Ratu Sirikit yang mangkat pada 24 Okt lepas.
Kerajaan Thailand telah mengisytiharkan tempoh berkabung selama setahun, manakala Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa perayaan itu diteruskan seperti biasa, dengan menyeru orang ramai supaya "memelihara tradisi bernilai tinggi ini sambil memperingati jasa dan bakti Bonda Ratu, Ratu Sirikit."
Wanlee Chairatleetrakul, 80, berkata, suasana sambutan tahun ini di sepanjang Sungai Chao Phraya tidak semeriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Dapat difahami mengapa sambutan kali ini terasa lebih sunyi kerana rakyat masih berkabung atas kemangkatan Bonda Ratu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Wat Sai Ma Tai di Nonthaburi pada Rabu.
Warga emas itu berkata, sebelum melepaskan krathong ke dalam Sungai Chao Phraya, beliau berdoa agar dikurniakan kesihatan yang baik.
Loy Krathong, yang disambut pada malam bulan penuh bulan qamari ke-12, menyaksikan ribuan krathong - bakul kecil yang dihiasi bunga, lilin dan batang colok - dilepaskan ke sungai atau tasik sebagai tanda kesyukuran kepada dewi air Phra Mae Khongkha dan melambangkan pelepasan segala unsur negatif dalam kehidupan.
Anan Silpasit, 30, berkata, sambutan tahun ini lebih sederhana.
"Suasananya lebih sunyi, tetapi penganjurannya lebih teratur. Tahun lepas lebih meriah, tetapi agak sesak dan kelam-kabut," katanya.
Di Bangkok, selain sungai dan terusan, Pentadbiran Metropolitan Bangkok telah menetapkan 33 taman awam utama - termasuk Taman Lumphini, Taman Chatuchak, Taman Awam Santi Chaiprakan dan Taman Saranrom - sebagai lokasi rasmi sambutan.
Di Chiang Mai, ribuan tanglung dilepaskan dan menerangi langit malam, manakala Taman Bersejarah Sukhothai menganjurkan upacara nyalaan lilin bagi memperingati asal-usul perayaan purba itu.
Dikenali juga sebagai "Pesta Cahaya", Loy Krathong merupakan perayaan simbolik yang mana rakyat Thailand melepaskan krathong buatan tangan daripada daun pisang yang dihiasi bunga dan lilin sebagai persembahan kepada dewi air.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


