PARTI-PARTI politik ditubuhkan bagi  memperjuangkan  fahaman dan agenda politik yang bertujuan untuk menjamin kesejahteraan hidup rakyat di dalam sesuatu masyarakat. Telah menjadi lumrah bahawa pemimpin-pemimpin parti akan berusaha untuk ‘menjual’ fahaman tersebut kepada seberapa ramai yang mungkin kerana keutuhan politik adalah bergantung jumlah penyokong.

Bagi menjalankan aktiviti-aktiviti untuk menarik sokongan rakyat, parti politik memerlukan dana. Secara asasnya sumber kewangan parti politik adalah melalui yuran keahlian dan juga sumbangan daripada penyokong parti tersebut.

Ada juga parti-parti politik yang bergiat cergas di dalam perniagaan, sama ada secara jelas ataupun melalui proksi-proksi. Selain Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengenakan kawalan ke atas calon-calon semasa pilihan raya, Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus untuk mengawal selia sumber kewangan dan perbelanjaan parti-parti dan juga ahli-ahli politik.

Berdasarkan kajian-kajian ilmiah yang dijalankan, perbelanjaan politik di negara ini amat besar dan mendedahkan bukan sahaja ahli politik malah keseluruhan masyarakat kepada amalan-amalan yang berbentuk rasuah.

Baru-baru ini Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) menyatakan bahawa undang-undang berkaitan kawalan pembiayaan politik sepatutnya telah diwujudkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini menunjukkan bahawa keperluan bagi undang-undang yang jelas untuk mengawal pembiayaan dan perbelanjaan politik berada di tahap yang tinggi bagi menjamin sumbangan dan perbelanjaan tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur rasuah. Namun amat malang, ahli-ahli politik tidak memandang serius berkaitan perkara tersebut. Mungkin kerana ahli-ahli politik akan menjadi orang paling terkesan dengan kewujudan undang-undang kawalan pembiayaan dan perbelanjaan politik.

Jawatankuasa Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya 2011 telah mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikkan pilihan raya termasuk mewujudkan peraturan dan undang-undang pembiayaan politik. Ramai daripada ahli jawatankuasa ini masih lagi aktif di dalam Parlimen sama ada di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Bagi memperbaiki kedudukan Malaysia di dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik  pada tahun 2015, yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu. Kajian mendalam telah diadakan termasuk perbandingan dengan negara-negara serantau dan negara demokrasi maju dan juga libat urus dengan semua pihak berkepentingan telah menghasilkan 32 cadangan di mana undang-undang pembiayaan dan perbelanjaan politik menjadi teras utama. Laporan tersebut telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada Ogos 2017.

Apabila berlakunya perubahan pentadbiran negara dalam tahun 2018, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) bagi mengkaji kesuluruhan ekosistem pilihan raya di Malaysia. Ahli-ahli yang berpengalaman berkaitan pilihan raya telah menyerahkan laporan bersama 49 cadangan bagi menambah baik sistem dan perjalanan pilihan raya di negara ini. Perdana Menteri pada September 2020 telah membuat kenyataan bahawa jawatankuasa khas Kabinet telah  ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan cadangan-cadangan tersebut.

Masyarakat juga telah difahamkan bahawa pada September 2019 draf Rang Undang-Undang Derma Politik telah diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang di Parlimen bagi menilai rang undang-undang tersebut. Malangnya apabila berlaku perubahan kerajaan pada 2020, jawatankuasa tersebut telah dibubarkan dan rang undang-undang yang terlibat telah ditarik balik oleh kerajaan.          

Desakan pelbagai pihak terutama masyarakat sivil untuk mewujudkan undang-undang pembiayaan politik seolah-olah tidak dipedulikan oleh ahli-ahli politik. Mungkin kerana ketiadaan undang-undang akan menguntungkan mereka daripada segi politik. Tetapi yang merisaukan rakyat adalah budaya politik wang yang melibatkan rasuah dan salah guna kuasa telah menjadi darah daging dalam masyarakat. Budaya ini mengakibatkan ketidakstabilan politik dan ekonomi negara. Nilai-nilai integriti telah diketepikan demi kuasa politik.

Maruah diri tidak lagi bernilai tetapi kedudukan dan wang ringgit menjadi kayu ukur kejayaan seseorang. Maruah negara di mata dunia tidak diperdulikan hanya kerana ingin mengekalkan kuasa.


* Amerul Muner Mohammad Pengasas Bersama 'Centre for Electoral Education and Democracy', Malaysia.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.