POLITICS
[KOLUMNIS] "PKR: Di persimpangan jalan atau parti yang kehilangan haluan?"
![[KOLUMNIS] "PKR: Di persimpangan jalan atau parti yang kehilangan haluan?" [KOLUMNIS] "PKR: Di persimpangan jalan atau parti yang kehilangan haluan?"](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-05/51748079850_TBPKR.jpg)
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama barisan kepimpinan baharu PKR pada Kongres Nasional PKR 2025 di Persada Johor International Convention Centre. - Gambar Bernama
PARTI Keadilan Rakyat (PKR), parti reformasi yang lahir daripada kekecewaan rakyat terhadap sistem yang korup, kini berada di persimpangan jalan yang menarik perhatian ramai penganalisa politik.
Pemilihan baru-baru ini, khususnya di peringkat jawatan Timbalan Presiden, telah mencetuskan pelbagai persoalan kritikal tentang kesatuan dan hala tuju parti serta sejauh mana PKR mampu mempertahankan idealisme dan matlamat asal penubuhannya.
Tetapi lebih daripada itu, persoalan tentang ke mana hilangnya lebih 60 peratus undi dalam proses pemilihan tersebut menjadi satu soalan besar.
Adakah pemilih telah "mengabaikan" tanggungjawab mereka, atau adakah ini satu manifestasi protes senyap terhadap kepimpinan semasa PKR?Kelesuan dalam kalangan ahli dan pengundi ini menimbulkan kerisauan bahawa PKR sedang berhadapan dengan kemelut dalaman yang lebih serius - kemelut yang melibatkan kehilangan nilai perjuangan, kekecewaan penyokong tegar, dan kemungkinan besar PKR menjadi sebuah parti ‘kacang lupakan kulit’.
Ke mana hilangnya 60 peratus undi?
Jumlah undi yang hilang, terutamanya dalam pemilihan Timbalan Presdiden, amat signifikan.
Dalam politik, keputusan untuk tidak keluar mengundi bercakap lebih lantang daripada sepatah rungutan lisan.
Apabila majoriti ahli yang layak memilih tiba-tiba memilih untuk tidak memangkah, ia menggambarkan satu mesej jelas: ada sesuatu yang tidak kena dalam parti.
Adakah mereka terlalu kecewa dengan barisan kepimpinan? Atau mungkinkah mereka memprotes terhadap arah PKR yang kelihatan kurang jelas?
Keputusan ini boleh dilihat sebagai ‘undi tidak percaya’ secara senyap terhadap kepimpinan.
Rakyat (dan ahli parti) yang dahulunya teruja dengan naratif reformasi dan pembaharuan, kini kelihatan lelah.
Mereka tidak lagi bersemangat untuk mempertaruhkan masa depan mereka kepada individu-individu yang dianggap lebih mementingkan kedudukan peribadi daripada prinsip perjuangan.
Lebih menyedihkan, ini juga mencerminkan hakikat bahawa PKR mungkin sedang kehilangan daya tarikan sebagai wadah perjuangan rakyat biasa.
Tetapi, ponteng undi tidak boleh dilihat semata-mata sebagai keengganan individu untuk terlibat. Ia juga mencerminkan kelemahan struktur dalaman parti itu sendiri.
Apakah sistem dan mekanisme dalam PKR terlalu usang untuk menarik minat ahlinya?
Atau mungkinkah ada pengaruh luaran yang menyebabkan situasi ini berlaku?
Malangnya, PKR sendiri gagal menangani isu ini secara terbuka, dan ini menambahkan lagi persepsi negatif terhadap imej parti.
PKR: Parti ‘kacang lupakan kulit’?
Apabila kita berbicara tentang PKR, tidak dapat dinafikan lagi bahawa banyak pihak, termasuk pemerhati politik, sudah mula mempersoalkan kejujuran parti ini terhadap nilai dan objektif asalnya.
PKR lahir daripada gerakan reformasi yang kononnya mahu membela rakyat, membawa keadilan, dan menentang korupsi.
Tetapi, melihat kepada trend hari ini, kita tertanya-tanya: Adakah PKR masih lagi parti reformasi?
PKR hari ini semakin hilang identiti. Figur-figur lama seperti reformis yang bermandi peluh dan air mata ketika zaman gelombang Reformasi 1998 perlahan-lahan disisihkan.
Nama-nama besar yang dulu menjadi tulang belakang gerakan kini tidak lagi diberi ruang dan peluang, seolah-olah mereka adalah ‘barang lama’ yang tidak lagi relevan.
Sebaliknya, bintang baharu yang kelihatan seperti pemain pragmatik politik diberikan tempat.
Namun, di sebalik semua ini, satu persoalan besar timbul: adakah ini semua satu percaturan untuk mengekalkan kuasa semasa, atau benar-benar untuk parti membawa visi perubahan?
Realitinya, budaya ‘kacang lupakan kulit’ dalam PKR ini menjadi mimpi ngeri buat ahli-ahli veteran yang masih kekal setia kepada parti.
Bagaimana nasib individu-individu berprinsip yang pernah menjerit dan menangis di jalanan untuk mendukung agenda reformasi?
Adakah mereka kini dianggap beban kepada parti, dan harus diketepikan kerana tidak sesuai dengan peredaran zaman? Jika ini benar, maka PKR mungkin sudah jauh tersasar.
‘Barisan baharu’ - jaminan sepenggal atau ada visi?
Pemilihan baru-baru ini juga memberi impresi bahawa PKR sedang membina “barisan baharu.”
Namun, soalnya, apakah pertaruhan utama barisan baharu ini?
Jika dilihat secara sepintas lalu, usaha ini kelihatan lebih fokus untuk mengekalkan kuasa PMX (Perdana Menteri kesepuluh) dalam tempoh sepenggal sahaja, berbanding visi jangka panjang untuk memperkukuh agenda parti.
Aspirasi dan harapan rakyat pada PKR bukanlah sekadar menjaga survival seorang individu atau memastikan kelangsungan kuasa politik semata-mata.
Rakyat mahukan perubahan. Tetapi, dengan corak permainan politik yang semakin bersifat tenaga konservatif, PKR kelihatan kehilangan naratif perubahan yang suatu ketika dahulu berjaya menginspirasikan rakyat.
Kesannya, PKR bukan sahaja dilihat gagal meyakinkan rakyat secara am, tetapi juga gagal menyatukan ahlinya sendiri.
Hala tuju politik PKR: Adakah masih bermakna?
Persoalan besar yang perlu dikemukakan sekarang adalah, ke mana hala tuju PKR selepas pemilihan ini?
Jika diperhatikan, PKR kini seperti berada di ambang dilema identiti. Di satu pihak, parti ini cuba untuk terus menjadi sebahagian daripada arus perdana supaya tidak terpinggir dalam percaturan kuasa politik Malaysia.
Di pihak lain, PKR kelihatan keliru dengan nilai reformasi yang sepatutnya mereka juarai sejak awal.
Untuk terus relevan, PKR perlu segera kembali kepada akarnya. Parti ini tidak boleh terus-menerus meminggirkan mereka yang telah banyak berjasa ketika awal penubuhan.
Barisan pemimpin perlu berani meletakkan kepentingan idealisme mengatasi kepentingan kuasa untuk memastikan PKR kekal menjadi parti rakyat, bukan sekadar sebuah organisasi politik yang mementingkan kelangsungan kuasa elitnya sahaja.
Perlu diingat bahawa rakyat Malaysia semakin bijak. Mereka tidak akan terus memberi mandat kepada parti yang bercakap besar tentang reformasi tetapi pada akhirnya sama sahaja seperti parti-parti lama.
PKR wajib memikirkan semula prioriti dan strategi mereka.
Jika tidak, parti ini mungkin berakhir sebagai sekadar satu panggung drama politik, tanpa sebarang impak yang benar-benar bermakna.
Kesimpulan: Reformasi yang terlupa
Kesimpulannya, PKR berada di satu detik yang sangat kritikal dalam sejarahnya.
Pemilihan baru-baru ini yang memperlihatkan kelesuan ahli parti untuk terlibat merupakan satu tamparan yang sangat hebat.
Hakikat bahawa lebih 60 peratus ahli memilih untuk tidak mengundi adalah mesej langsung kepada kepimpinan parti: mereka sudah mula hilang kepercayaan.
PKR mesti memilih antara menjadi sebuah entiti politik yang hanya hidup untuk kelangsungan kuasa, atau kembali kepada nilai perjuangan untuk membawa perubahan kepada rakyat.
Namun, dengan trend semasa, PKR mungkin sedang menulis naratif menuju kejatuhannya sendiri.
Dan jika itu berlaku, jangan salahkan rakyat, kerana mereka pernah memberi peluang besar kepada parti ini - tetapi malangnya, peluang itu disia-siakan atas nama percaturan politik jangka pendek.
* Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri ialah seorang penganalisis politik.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami