PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) yang baru berakhir  ini mungkin merupakan antara PAU yang paling penting dalam sejarah penubuhan UMNO. Ini mungkin disebabkan kedudukan UMNO pada hari ini yang bukan lagi dianggap sebagai sebuah parti Melayu yang utama dan unggul.

Itu sebabnya segala kata-kata semangat yang dilontarkan oleh pucuk pimpinan dan para perwakilan semasa PAU, jangan ditinggalkan di dalam dewan persidangan. Ia perlu disemat di dalam hati setiap ahli UMNO sebagai pemangkin untuk kembali bangkit setelah tewas dengan teruk semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Dalam hal ini, UMNO masih memerlukan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hassan untuk terus mengemudi kapal UMNO yang masih memerlukan kestabilan.  Namun pada masa yang sama, UMNO wajib meletakkan harapan kepada generasi muda parti kerana kita tidak boleh nafikan bahawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, undi orang mudalah yang bakal menjadi penentu kejayaan atau kegagalan UMNO. 

Itu sebabnya Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO perlu bergerak dengan lebih cergas dan proaktif kerana merekalah  yang akan menjadi  barisan hadapan khasnya ketika PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Presiden UMNO dalam ucapannya telah menegaskan bahawa sudah tiba masanya juga untuk mengenal pasti, dan melatih generasi pelapis dalam UMNO itu sebagai persediaan untuk mereka mengemudi kerajaan dan negara pada masa akan datang.

Sementara itu, Presiden UMNO telah menegaskan juga bahawa UMNO tidak akan berkompromi atas prinsip perjuangan yang menjadi teras parti keramat ini. Menurut beliau, meskipun UMNO kini menjadi sebahagian daripada gabungan baharu dalam Kerajaan Perpaduan, namun apa yang penting ialah identiti UMNO sebagai pembela Melayu dan Islam akan sentiasa kekal kukuh.

Presiden UMNO juga dengan lantang telah menegaskan bahawa: "Andai ada yang cuba memainkan sentimen, kononnya kerjasama politik yang dilakukan oleh UMNO, akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, suka saya tegaskan, UMNO bukan 'political chameleons'... mengkarung politik".

Satu perkara yang kita tidak boleh nafikan ialah UMNO kini boleh dianggap seperti seorang pesakit yang baru hendak pulih daripada sakit atau kecederaan.  Itu sebabnya parti ini perlu cermin diri, merawat kecedaraan yang dialami serta memastikan pemulihan dapat dijalankan dengan berkesan. Walaupun proses ini memerlukan masa, tetapi jika perpaduan dalam UMNO dapat dikukuhkan, maka ia akan dapat menguat dan menyatupadukan parti ini.

Selain itu, UMNO juga perlu melupakan segala perkara remeh-temeh dan terus bersama-sama dengan parti lain dalam melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat dan negara dalam Kerajaan Perpaduan.

Dan pastinya antara yang menjadi tumpuan pada PAU hari itu, adalah kehadiran Perdana Menteri, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila kembali menghadiri PAU setelah dipecat oleh parti tersebut pada 1998. Anwar menyifatkan kehadiran beliau pada PAU 2023 adalah bagi mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan selain memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Apa yang dikatakan oleh Anwar, adalah selari dengan ucapan dari Presiden UMNO juga, yang menggesa semua pihak agar memberi peluang kepada kerajaan Malaysia Madani menterjemahkan setiap agenda mereka seperti yang telah dijanjikan.

"Berilah peluang kepada kerajaan ini untuk menterjemah agenda yang telah dijanjikan dan dirancang untuk dilaksanakan dengan dukungan kakitangan awam, yang berpegang kepada prinsip menumpahkan taat setia kepada kerajaan semasa".

Sekarang terpulang kepada pucuk kepimpinan serta ahli-ahli UMNO sekelian untuk menterjemahkan kata-kata semangat semasa PAU hari itu, kepada satu perjuangan baharu yang akan meletakkan semula UMNO sebagai parti yang akan terus kekal relevan di negara kita.


* Penulis adalah Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan MPM/ Penganalisis politik.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.