Manifesto yang ditulis oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bermasalah kerana ditulis dengan pemikiran reformis.

Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari menjelaskan, ia gagal dilaksanakan sepenuhnya kerana pada akhirnya mereka sendiri tidak percaya kepada janji itu apabila memegang kuasa.

"Sangat tidak enak didengar apabila mereka menjadi pemerintah... beberapa pemimpin mereka sendiri mengatakan... seperti tidak pernah menyangka akan menang.

"Jadi itu sebabnya mereka tidak mengotakan semua janji yang tidak realistik ini. Jadi saya fikir itu adalah faktor besar, banyak janji yang dimungkiri," katanya semasa membentang Laporan 22 Bulan PH dan 100 Hari Pertama Perikatan Nasional (PN) di sini, pada Rabu.

Selain itu, katanya isu dihadapi ketika pentadbiran PH adalah masalah membabitkan wakil rakyat dengan institusi.

"Terdapat 'pertarungan' yang tidak pernah berakhir antara mereka dan institusi. Saya rasa setiap kali ada inisiatif pembaharuan, akan berlaku 'pertempuran' dengan pihak lain yang mengatakan mengapa anda begitu fokus pada perkara ini dan apa yang sebenarnya dirasakan orang lain.

"Isu ini juga dimainkan oleh pembangkang pada ketika itu," katanya.

Dalam pada itu kata Aira, antara isu yang menjadi perhatian masyarakat selepas 100 hari PN memerintah adalah kebimbangan orang ramai mengenai pembebasan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Selain Aira, turut membuat pembentangan adalah Pengerusi Voice of the Children (VoC), Sharmila Sekaran; wakil Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN), K Arumugam dan Ketua Strategis Hak Asasi Manusia Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), Firdaus Husni.