KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan PKR memutuskan hari ini Kongres Nasional Tahunan 2021 parti itu akan berlangsung pada 2022.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kongres tahunan itu akan berlangsung serentak dengan kongres bagi tahun 2022.

Ia sekali gus menyaksikan Mesyuarat Agung Peringkat Cabang turut akan diadakan pada tahun depan.

"Bagaimanapun, Laporan Tahunan Cabang mesti diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada tahun ini juga," katanya.

Saifuddin juga memaklumkan, Majlis Pimpinan Pusat yang bermesyuarat pada 1 Mei telah bersetuju dengan keputusan berhubung kekosongan jawatan di peringkat pusat. 

"Walaupun di peringkat pusat ada kekosongan jawatan seperti Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), namun kita telah membuat keputusan untuk tidak mengisi jawatan ini sehingga pemilihan parti akan datang yang akan ditetapkan tarikhnya.

"Dengan ini, perjalanan parti di peringkat pusat akan kekal seperti sekarang tanpa kita mengisi kekosongan akibat ditinggalkan rakan-rakan lama kita," katanya.

Kekosongan jawatan dalam parti itu wujud, apabila bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden Datuk Zuraida Kamaruddin, meninggalkan parti itu pada tahun lepas.

Sementara itu, Dr A Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli PKR pada Mac lalu.

Saifuddin berkata demikian pada Kongres Nasional Tahunan PKR ke-15 bagi tahun 2020 yang berlangsung secara maya hari ini.

Sebelum ini, PKR menangguhkan kongres tersebut selepas mendapat arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kongres Nasional Tahunan PKR 2020 berlangsung menerusi platform dalam talian sepenuhnya disebabkan kekangan akibat pandemik COVID-19.