Skip to main content

Politik

Krisis PN berpotensi jejas kekuatan pembangkang pada PRN Melaka - Penganalisis

Penganalisis menjangka Pas dan Bersatu perlu menilai semula strategi, dengan kemungkinan penjajaran semula politik pembangkang dan pembentukan gabungan alternatif.
Penganalisis menjangka Pas dan Bersatu perlu menilai semula strategi, dengan kemungkinan penjajaran semula politik pembangkang dan pembentukan gabungan alternatif.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Perpecahan antara Pas dan Bersatu serta pembatalan pendaftaran PN dijangka menjejaskan kekuatan pembangkang pada PRN Melaka bermula 31 Oktober ini.
  • Krisis dalaman menyebabkan risiko pertandingan berbilang penjuru, perpecahan undi, serta kekeliruan dalam penyelarasan calon dan penggunaan identiti parti.
  • Penganalisis menjangka Pas dan Bersatu perlu menilai semula strategi, dengan kemungkinan penjajaran semula politik pembangkang dan pembentukan gabungan alternatif.

KUALA LUMPUR: Perpecahan antara Pas dan Bersatu susulan krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) sehingga menyebabkan pembatalan pendaftaran gabungan itu berpotensi menjejaskan kekuatan pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula 31 Okt ini, menurut penganalisis politik.

Felo Penyelidik ILHAM Centre Mujibu Abd Muis berkata kemelut dalaman pembangkang itu akan memberi kesan terhadap penyelarasan strategi menghadapi pilihan raya mengakibatkan kemungkinan wujud pertandingan berbilang penjuru, perpecahan undi dan persaingan sesama calon parti pembangkang sendiri.

Beliau berkata pembatalan pendaftaran PN turut menimbulkan ketidaktentuan mengenai penggunaan identiti bersama dan penyelarasan calon, sekali gus memerlukan Pas dan Bersatu menilai semula strategi masing-masing bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Pas mungkin lebih mudah bergerak menggunakan identiti partinya sendiri kerana mempunyai jentera dan sokongan akar umbi yang kukuh, namun kekuatan itu tidak bermakna parti berkenaan secara automatik dapat mewarisi keseluruhan sokongan yang pernah diberikan pengundi kepada PN sebelum ini.

“Jika tiada koordinasi, pertandingan berbilang penjuru boleh menyebabkan pecah undi dan memberikan kelebihan kepada pihak lawan. PRN Melaka menjadi ujian penting bukan sekadar terhadap kekuatan Pas atau Bersatu, tetapi terhadap keupayaan mereka menyesuaikan strategi selepas perpecahan,” katanya.

Mujibu yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata Bersatu pula berdepan cabaran lebih besar dalam jangka pendek kerana perlu menentukan hala tuju politiknya tanpa terus bergantung kepada kerjasama strategik dengan Pas.

Beliau berkata parti itu mempunyai pilihan sama ada bergerak secara bersendirian untuk mempertahankan identiti politiknya atau meneroka kerjasama baharu, namun kedua-dua pendekatan mempunyai risiko tersendiri terhadap kelangsungan politiknya.

“Bersatu mungkin dapat mempertahankan autonomi politik dengan bergerak solo, tetapi autonomi tanpa rakan strategik boleh menjadi liabiliti pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata keretakan hubungan Pas dan Bersatu juga berpotensi mengubah landskap persaingan politik pembangkang, khususnya dalam menentukan parti yang mampu mewarisi pengaruh serta sokongan politik yang sebelum ini dikumpulkan di bawah PN.

Katanya PAS berpotensi muncul sebagai kuasa lebih dominan dalam blok pembangkang berdasarkan kekuatan organisasi dan jaringan akar umbi, namun kedudukan itu masih perlu dibuktikan melalui kemampuan memenangi kerusi serta menarik sokongan pengundi lebih luas.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata krisis PN berpotensi mempercepatkan penjajaran semula politik pembangkang, termasuk melalui penyusunan semula hubungan antara Pas, Bersatu dan parti lain.

Beliau berkata kemungkinan pembentukan gabungan alternatif atau kerjasama politik yang lebih longgar tidak boleh diketepikan sekiranya persefahaman antara bekas anggota parti komponen PN berkenaan gagal dipulihkan.

Awang Azman berkata tempoh yang terhad menjelang penamaan calon PRN Melaka pada 31 Okt ini turut meningkatkan tekanan terhadap Pas dan Bersatu untuk menyelesaikan ketidaktentuan berkaitan penggunaan lambang, pembahagian kerusi dan penyelarasan kempen.

“Krisis ini boleh meningkatkan risiko pertandingan sesama parti yang sebelum ini bekerjasama, pertindihan calon serta kekeliruan penyokong sekiranya isu perundangan dan persefahaman politik gagal diselesaikan segera,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pembatalan pendaftaran PN tidak bermakna kekuatan pembangkang hilang secara automatik kerana Pas dan Bersatu masih mempunyai organisasi, jaringan akar umbi serta pengaruh politik masing-masing.

Selasa lepas, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran PN mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis bertarikh 22 Sept lepas.

Keputusan itu susulan kemelut dalaman PN selepas Bersatu mengemukakan aduan rasmi kepada RoS pada 11 Ogos lepas, antaranya berhubung dakwaan parti itu dinafikan hak untuk menghadiri dan mengambil bahagian dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lepas.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement