KUALA LUMPUR: Tidak ada pihak yang kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar ketetapan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 ketika Pilihan Raya Negari (PRN) Melaka, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan jelas menunjukkan perkara yang menyalahi ketetapan kerajaan dan hukuman yang boleh dikenakan.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, undang-undang yang termaktub di negara ini meliputi semua pihak termasuk individu.

"Tidak ada sesiapa yang kebal dari segi undang-undang, Akta 342 jelas dari segi hukuman dan kesalahan. Walaupun kita sekarang di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), SOP yang jelas sudah diumumkan oleh kerajaan.

"Jadi sesiapa sahaja, parti mana sekalipun tidak terlindung atau kebal daripada undang-undang. Jika mereka melakukan kesalahan, tindakan pasti diambil.

"Kita tidak ada kompromi, tidak ada istilah orang biasa dan orang kayangan. Undang-undang sama sahaja. Jadi, saya harap semua rakyat patuh kepada SOP," katanya.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRN MELAKA DI SINI


Beliau menjawab pertanyaan media mengenai dua parti politik yang dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sebelum ini, kompaun dikeluarkan kepada Barisan Nasional (BN), yang mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis lalu.

PKR turut dikenakan kompaun RM10,000 oleh pihak polis selepas mengadakan program penerangan bergerak yang didakwa tanpa kehadiran perhimpunan di Taman Krubong Jaya, pada Sabtu lalu.

Pada 24 Oktober lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya, termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

 
Sumber Facebook astroawani