DAP menafikan akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bagi mengukur sokongan rakyat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berdepan dengan dua tuduhan rasuah ketika ini.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata perkara itu belum dibincangkan di dalam mesyuarat pimpinan DAP.

"Itu hanya khabar angin daripada media, belum ada apa-apa keputusan daripada DAP. Saya dah kata semalam, pimpinan DAP pusat belum bincang kemungkinan itu.

"Itu hanya pilihan. Kalau ada niat untuk buat, baru kita akan bawa agenda itu kepada perbincangan dengan rakan-rakan Pakatan Harapan. Pilihan itu terbuka tetapi belum ke tahap itu," katanya pada sidang media Pakatan Harapan di ibu pejabat PKR di ibu negara, pada Selasa.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy dalam satu kenyataan pada Isnin telah memberikan dua pilihan utama sebagai tindak balas kepada pertuduhan rasuah yang difailkan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Salah satu daripadanya ialah mengadakan pilihan raya kilat bagi menilai maklum balas rakyat terhadap pertuduhan ke atas Guan Eng.

Manakala pilihan kedua lagi ialah menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada Ogos 2018.