KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yakin akan berlaku pertukaran kerajaan pada tahun ini namun tidak mendedahkan butirannya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ini kerana rakyat ketika ini tidak berpuas hati berhubung isu melanda negara terutama melibatkan kos sara hidup serta kenaikan harga barang.

"Bayangkan dulu produk yang dijual dengan harga RM12 hingga RM15, tapi hari ini dah cecah RM25. Macam mana golongan B40 nak hidup, malah ada peniaga kecil seperti penjual nasi lemak terpaksa berhenti berniaga sebab tak tahan dengan harga barang sekarang.

"Jadi saya yakin akan berlaku pertukaran kerajaan. Tak tahu cara macam mana tetapi ia akan berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan pendirian untuk kekal setia bersama Perikatan Nasional (PN) selain tidak akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Buat apa sokong Anwar sebab sekarang rakyat marah. Saya juga berpandangan tak ada lagi Ahli Parlimen dari PN akan sokong Anwar.

"Saya rasa Ahli Parlimen PN yang beralih sokong Anwar sebelum ini mesti dah rasa menyesal sekarang," dakwanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Alias Razak berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan mengaitkan sekumpulan ahli Parlimen PN terlibat dengan Langkah Dubai.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen dari Pas itu tetap kekal menyokong PN sehingga akhir penggal.

"Mengenai Langkah Dubai, 'no comment'. Saya tak tahu mengenai perkara tersebut.

"Insya-ALLAH, ahli Parlimen dari Pas akan sokong PN. Mana ada wakil rakyat Pas yang melompat, kami kekal sokong PN," jelas beliau.

Pada Rabu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan beliau yakin Langkah Dubai akan menjadi kenyataan namun tidak boleh mendedahkan butirannya.

Muhammad Sanusi mendakwa, pemimpin Kerajaan Perpaduan pada ketika ini ibarat takut pada bayang-bayang sendiri kerana tahu akan kehilangan kuasa pemerintahan.

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan Langkah Dubai, sejurus beberapa pemimpin dikaitkan dengan gerakan tersebut tiba di tempat pertemuan termasuk laporan selepas pertemuan selesai, malah beliau menyifatkan usaha itu hanya membuang masa. - Sinar Harian