PEDU: Pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) berada di bawah kuasa dan hak prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meskipun terdapat desakan tidak berbuaat demikian daripada pihak tertentu ketika ini.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, semua pihak harus memahami kuasa yang dimiliki Perdana Menteri itu meskipun difahamkan wujud perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani sebelum ini.

Bahkan, kata Mahdzir, cadangan membubarkan Parlimen daripada Pergerakan Ketua Pemuda UMNO sekiranya masih wujud desakan melantik TPM juga di bawah hak prerogatif Perdana Menteri.

"Lantik TPM itu hak prerogatif Perdana Menteri, saya punya komen adalah jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah prerogatif Perdana Menteri.

"Cadangan pilihan raya itu juga hak Perdana Menteri, Pemuda UMNO boleh desak, tetapi untuk saya, keputusan melantik Timbalan Perdana Menteri ini prerogatif Perdana Menteri, hak dia, jadi biar dia putuskan

"Walaupun ada MoU atau apa (perkara sekalipun), leave it to PM (serahkan kepada PM) dan soal pilihan raya, soal yang berkait dengan PM, dia ada report (laporan), tahu apa yang berlaku di persekitaran, di antarabangsa, ASEAN, jadi dia boleh decide (tentukan) berdasarkan maklumat yang ada pada dia," kata beliau.

Mahdzir berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Taklimat Khas Projek PROSPEK Pedu di Kampung Padang Setul, Padang Terap, di sini, pada Khamis.

Pada Rabu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan kepada Perdana Menteri membubarkan Parlimen sekiranya pimpinan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berterusan mendesak melantik TPM.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan terdapat perjanjian yang dibuat dengan Ismail Sabri mengenai jawatan TPM dan kuota Jemaah Kabinet.

Menurut Muhyiddin, selaku Pengerusi PN, beliau menandatangani perjanjian itu bersama-sama Perdana Menteri dan disaksikan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Tan Sri Annuar Musa.

Malah, kata Muhyiddin, draf perjanjian itu digubal oleh Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas.